PRU15: PH umum Anwar Ibrahim calon PM
21 Oktober 2022
Oleh Farah Salim
IPOH: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, semalam.
Beliau berkata pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.
Katanya, Anwar berdepan pelbagai cabaran selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan.
"Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan ini. Jawatan ini datang dengan tugas dan tanggungjawab yang berat.
“Ekonomi negara sedang merudum, kadar inflasi dan isu harga barang yang bermasalah, derita rakyat dengan ringgit yang terus merudum... ekonomi negara mesti diselamatkan oleh kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepemimpinan seorang yang mampu memperbaiki ekonomi negara,” katanya.
Turut hadir pada konvensyen itu, timbalan-timbalan Pengerusi PH antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
תגובות