top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Rangkuman kempen Pakatan Harapan Penampang



17 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal melabuhkan tirai pada jam 12 tengah malam esok (Jumaat).


Sepanjang kempen, pelbagai strategi dilakukan jentera parti masing-masing termasuk kempen bersemuka, melalui media sosial, edaran risalah kempen dan tidak kurang juga bersifat “serangan peribadi” untuk memenangi hati rakyat dan memastikan kemenangan berpihak kepada calon mereka.


Bagi jentera dan petugas pilihan raya Pakatan Harapan Penampang, mereka menggunakan sepenuhnya media sosial seperti Tiktok untuk menyampaikan maklumat kepada golongan sasar dan mendekati para pengundi khususnya pengundi muda.


Kebanyakan calon yang bertanding pada PRU15, menggunakan media sosial seperti TikTok untuk mendekati pengundi.


Begitu juga dengan calon Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, beliau turut menggunakan media sosial TikTok selain Twitter sebagai platform menyampaikan maklumat kepada para pengundi muda.


Mengenai perjalanan kempen, bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memulakan Jelajah Kempen di Kg.Maang Penampang, selepas penamaan calon di Pusat Kebudayaan Penampang pada 5 November lalu.



“Saya memilih melancarkan Jelajah Harapan Penampang di Kg.Maang kerana di sinilah saya memulakan perjuangan untuk rakyat Penampang pada 2006 membantah cadangan kerajaan negeri memindahkan penduduk setinggan dari Sri Tanjung ke kampung ini,” katanya.


Beliau kemudiannya meneruskan kempen hari pertama di Kg. Penampang Proper iaitu kampung kelahirannya dan kampung asal bapa beliau. Kempen hari pertama diakhiri di Tugu Datuk Peter Mojuntin Donggongon.


Hari Kedua: 6 November (Ahad)


Ewon memulakan program tinjauan mesra di sekitar Kepayan, kemudiannya melawat rumah penduduk terjejas banjir di Kg.Sugud, menemui penduduk Kg.Bukitas. Kg.Inobong dan Kg.Nosoob.


Semasa perjumpaan dengan penduduk Kg.Sugud, Kg.Bukitas, Kg.Inobong dan Nosoob, Ewon menerima banyak aduan dan cadangan penyelesaian masalah terutamanya banjir.



“Dalam lawatan saya di Kg.Sugud, penduduk kampung memaklumkan, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir tahun lepas tidak adil kerana banyak yang tercicir dan ada yang tidak terkesan tetapi diberikan bantuan.



“Saya bersimpati dengan keadaan yang menimpa mereka. Oleh itu, antara aspirasi saya untuk rakyat Penampang ialah memastikan perkhidmatan dan bantuan pasca banjir dapat dilaksanakan dengan telus dan adil,” katanya.


Sebagai penyelesaian masalah banjir di kawasan Penampang, Ewon mencadangkan satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang diwujudkan di daerah ini.


Hari Ketiga: 7 November (Isnin)


Ewon melancarkan Penaja Parti UPKO Putatan di kediaman Mantan Ahli Parlimen Penampang Paul Nointien di Kg.Tombovo.


Paul menyertai UPKO dan menyerahkan borang keahlian bersama 1,288 ahli baharu seterusnya mengisytiharkan sokongan kepada Ewon.


Selepas itu Ewon meneruskan program di Kampung Notorus dan merasmikan cawangan UPKO Baru di Kampung Sosopon sebelum menghadiri Program Ramah Mesra di Dewan Amore Puru Putaton.


Kemasukan ahli-ahli baharu dalam UPKO-PH, memberi gambaran sokongan padu rakyat Penampang terhadap Ewon semakin positif.



Antara ceramah Ewon sepanjang hari ketiga ialah, mengenai tawaran PH untuk rakyat Penampang dan Sabah secara keseluruhannya.


Enam daripada 36 Tawaran Harapan itu adalah khusus untuk Sabah yang dituntut oleh pemimpin UPKO dan dimasukkan dalam tawaran atau manifesto berkenaan.


Enam perkara khas itu ialah, membela nasib orang asal Sabah, merapatkan jurang pembangunan Wilayah Sabah dan wilayah-wilayah lain, memperkasakan wilayah Sabah menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), desentralisasi kuasa kepada Wilayah Sabah, menyelesaikan isu kebanjiran warga asing di Sabah, mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan di negeri ini.


Hari Keempat: 8 November (Selesa)


Ewon memulakan program pada sebelah pagi dengan mengadakan tinjauan mesra di sekitar Penampang Baru, kedai Towering, kemudiannya meneruskan Ceramah Kopitiam di Jia Hua Food Court Bundusan, perjumaan dengan Pemuda dan Wanita PKR Cabang Penampang di Taman Kemayan, program santai bersama komuniti di Balairaya Taman Nosoob dan Kampung Koidupan.


Sepanjang kempen hari keempat Ewon menerima banyak aduan terutamanya daripada golongan peniaga dan pemilik kedai berkaitan kelewatan urusan pembaharuan lesen perniagaan.



Selain itu aduan lain yang beliau terima ialah masalah parit, longkang dan lampu jalan di kawasan kedai.


“Ini memerlukan kepimpinan yang agresif. Wakil rakyat Penampang perlu rajin turun padang bertemu rakyat mendengar sendiri permasalahan mereka dan merumuskan penyelesaian terbaik,” katanya.


Hari Kelima: 9 November (Rabu)


Program dimulakan dengan perjumpaan jentera PDM Babagon dan Moyog, kemudiannya melawat Komuniti Kg.Turol dan menghadiri ramah mesra bersama penduduk kampung di Dewan SMB (Sri Mazu) Kg.Tindai Kolopis.


Pada sebelah malam pula Ewon meneruskan ceramah kempen di Kampung Susuon Soboong dan Kampung Tuavon.



Dalam ceramah kempen, Ewon mengulangi ketegasannya tidak akan menarik saman terhadap kerajaan persekutuan berkaitan 40 peratus hasil Sabah yang difailkan wakil rakyat Pakatan Harapan pada Jun lepas, walaupun gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.



Hari Keenam: 10 November (Khamis)


Ewon memulakan program dengan mengadakan tinjauan mesra di kedai-kedai sekitar Donggongon dan di kawasan Mido Restoran.


Beliau kemudiannya memenuhi jemputan tujuh persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Pacos Trust, sebelum mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Kadazandusun (KCCI).



Setelah enam hari berkempen, Ewon mengakui masih perlu bekerja keras untuk memberi penjelasan kepada rakyat Penampang mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan parti-parti lain termasuk Blok Borneo, Reset Sabah dan gabungan parti tempatan Sabah.



Hari Ketujuh: 11 November (Jumaat)


Ewon meneruskan jelajah kempen di Kampung Timpangoh Laut, Kampung Tampasak Sugud, Kg.Kaanapan, Kg.Pinapah Kondis, Kg.Limbanak, Kg.Babah, Kg.Mahandoi dan Kg.Takad Kolopis.


Ketika berkunjung di Kg.Timpangoh Laut, Ewon mendapati liputan internet di kampung itu sangat lemah.



Oleh itu beliau bertekad untuk meningkatkan liputan internet di kawasan Penampang, jika diberi mandat pada pilihan raya ini.


Penduduk Kg.Kaanapan Sugud turut membawa Ewon meninjau kerosakan jalan kampung itu yang rosak akibat banjir besar sejak September 2021 tetapi belum dibaiki sehingga kini.


Dalam ceramah, Ewon menyatakan persaingan bersih perkhidmatan antara wakil rakyat Moyog (Datuk Darell Leiking) dan Ahli Parlimen Penampang (Ewon) akan membawa manfaat kepada rakyat Penampang.


Hari Kelapan: 12 November (Sabtu)


Tinjauan mesra di Pasar Borong Hungab, merasmikan pertandingan PUBG Mobile, ceramah di Kg.Gunsing, ceramah santai di Kg.Baru Luyang dan menghadiri ulang tahun pentabisan paderi di Sacred Heart Church Inobong sebelum menghadiri Ceramah Mega di Funky Farm Food Court, Kapayan.



Ewon mengambil kesempatan memberi penjelasan kepada rakyat Penampang mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan parti-parti rakan ‘sebelah’.


Hari Kesembilan: 13 November (Ahad)


Kempen hari kesembilan dimulakan dengan tinjauan mesra di Tamu Sangadau Donggongon, ceramah santai di Taman Suria Food Court, Kg.Nabangkung, ceramah Kopitoan di Market 88 bersama Anthony Loke, sebelum meneruskan kempen di Kg Divato-Ramayah, Borneo Spice Kampung Pogunon dan di Dewan Mini Moyog.


Sepanjang Sembilan hari berkempen, penerimaan masyarakat Penampang termasuk masyarakat Cina semakin positif. Ini dapat dilihat melalui kehadiran mereka dalam ceramah kempen.



Selain itu sokongan para pemimpin veteran di Penampang juga semakin bertambah. Mantan Adun Kapayan Dr Edwin Bosi mengisytiharkan sokongan kepada Ewon menjadi Ahli Parlimen Penampang yang baharu semasa program di Dewan Kg.Moyog.


“Saya menyokong PH, kita memerlukan seorang Ahli Parlimen yang berkesan dalam menjalankan amanah terutamanya turun padang berjumpa rakyat,” kata Dr.Edwin.


Hari Kesepuluh: 14 November (Isnin)


Pada sebelah pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu meluangkan masa turun padang di beberapa kampung kawasan Kadamaian iaitu Kg.Sumbilingon dan Kg.Kelawat Pekan untuk membantu menyelesaikan beberapa permasalahan penduduk berkaitan keperluan kebajikan dan infra kecil kampung.


Program kempennya diteruskan di Penampang pada sebelah petang sehingga malam. Beliau menghadiri ceramah di Kg.Kobusak kemudiannya Ceramah Perdana di perkarangan Boulevard Hypermarket.



Semasa ceramah perdana, Ewon menjelaskan isu yang dibangkitkan pihak lawan yang mengatakan beliau memecahbelahkan rakyat Penampang dan Borneo Blok.


Ewon berkata, beliau mahu menyatupadukan rakyat Penampang yang mahukan perubahan dan pembaharuan kerajaan yang menolak rasuah serta salahguna kuasa.


Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok dalam ucapannya berkata, tidak salah bagi rakyat Penampang mengundi Ewon kerana beliau orang Penampang, membesar di Kota Belud dan Penampang serta belajar di Penampang.




Dompok juga yakin dan percaya Ewon calon terbaik untuk menjadi suara rakyat Penampang dan Sabah di Parlimen.


“Beliau (Ewon) berhasrat berkhidmat di Penampang membantu mencari jalan penyelesaian pelbagai permasalahan di Penampang seperti banjir yang berlanjutan sejak dahulu lagi. Begitu juga dengan peluang pekerjaan dan liputan internet di Penampang,” katanya.


Hari Kesebelas: 15 November (Selesa)


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan undi awal PRU15 diadakan pada hari ini (15 November).


Bagaimanapun ceramah kempen masih diteruskan di Pentas Tagal Babagon dan kampung Nampasan Tanaki.


Sokongan penduduk kampung semakin bertambah kerana mereka yakin Ewon dapat membantu menyelesaikan masalah infrastruktur di kampung mereka.