PRU15: UPKO dalam PH, semangat baharu rakyat negeri ini perjuangkan hak-hak Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: UPKO dalam PH, semangat baharu rakyat negeri ini perjuangkan hak-hak Sabah


1 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) iaitu parti tempatan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) umpama nadi hayat dan semangat baru rakyat Sabah memperjuangkan hak-hak rakyat negeri ini.


Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Malaysia Amirah Aisah berkata, ini dapat dilihat melalui kesungguhan presiden parti itu Datuk Madius Tangau dan para pemimpin lain mengemukakan idea-idea bernas bagaimana membangunkan Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata, kemasukan UPKO dalam gabungan itu memberi satu nadi hayat baru dan semangat baru kepada rakyat Sabah.


“Ini kerana UPKO adalah antara parti bumiputera Sabah yang sangat berprinsip. Ketika kami berbincang tentang bagaimana membangunkan dan menyelamatkan negara serta membangunkan Sabah dan Sarawak, Datuk Madius dan kawan-kawan membawa beberapa saranan dan candangan yang sangat bagus untuk Sabah.


“Sebab itu saya ingin berpesan kepada para pengundi kita di seluruh Sabah terutamanya di kawasan yang kebanyakannya pengundi masyarakat Kadazandusun dan Murut supaya memberi sokongan padu dengan memenangkan semua calon UPKO.


“Sebab apabila UPKO berbincang bersama kami di Kuala Lumpur, tidak ada tertinggal walau satu kaum pun, semuanya atas semangat kebangkitan Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Negeri Sabah, di sini, semalam.


Amira berkata, Harapan akan mewakili suara Sabah dan memberikan hak-hak kepada rakyat Sabah yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negeri ini.


Beliau berkata, Sabah mesti bangkit dan memberikan setiap undi untuk menolak rasuah.


“Untuk makluman kajian menunjukkan situasi sokongan rakyat Malaysia untuk Pakatan harapan sama seperti menjelang PRU14.


“Kita perlu teruskan kebangkitan ini, untuk sama-sama mengambil alih kembali Putrajaya untuk membangunkan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara Semenanjung Malaysia.


“Kita ada satu gabungan parti politik yang akan mengangkat kembali martabat Sabah, iaitu Pakatan Harapan,” katanya.

Tags:

bottom of page