top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Wanita UPKO beri komitmen penuh menangkan calon PH

Rowindy ketika berucap pada majlis itu.

15 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi komitmen penuh untuk memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Setiausaha Wanita UPKO Pusat Rowindy Lawrence berkata, Wanita UPKO Malaysia menzahirkan komitmen dan tekad berganding bahu bersama dengan rakan-rakan wanita dalam PH mendukung kebangkitan rakyat yang dahagakan perubahan.


“Mari kita bawa semangat dan tekad ini untuk perubahan dan kebangkitan rakyat  memenangi PRU15 dan seterusnya berganding bahu membina Malaysia yang lebih baik dan cemerlang.

“Sudah tiba masanya negara ini ditadbir oleh sebuah gabungan parti yang berteraskan parti berbilang kaum dan saya yakin Wanita PH Malaysia boleh menjadi pemangkin kepada perubahan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 Wanita Pakatan Harapan, di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, hari ini.


Program itu dilancarkan oleh Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rowindy yang juga Ketua cawangan UPKO Kota Kinabalu berkata, Wanita UPKO Malaysia juga mendukung kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dalam PRU15.


“Kita tidak ada keraguan terhadap kepimpinan Datuk Seri (Anwar Ibrahim), beliau berhak dan layak diberi peluang memimpin negara kita,” katanya.


Beliau berkata, negara mempunyai ramai pemimpin wanita yang dedikasi, berintegriti dan bermaruah.


“Perhimpunan hari ini menampilkan pemimpin-pemimpin PH wanita Malaysia yang akan turut berjuang bersama-sama untuk memenangi PRU-15 dan mengangkat kembali nama Malaysia dipentas antarabangsa.

“Program Iltizam Wanita PH untuk Malaysia pada hari ini adalah terjemahan aspirasi dan tekad kita bersama untuk mencetuskan era baharu politik negara ke arah pemerintahan bermaruah, adil dan inklusif dibawah Pakatan Harapan.


“Marilah kita (wanita) menerajui kebangkitan rakyat yang menolak kebobrokan pentadbiran BN-PN. Inilah waktunya kita menongkah arus untuk memulihkan kembali negara tercinta ini menjadi Malaysia yang lebih baik dan cemerlang,” katanya.

Comments


bottom of page