top of page
  • Wartawan Nabalu News

Purata jumlah penumpang keretapi di Sabah meningkat


14 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Purata harian jumlah penumpang keretapi di Sabah telah meningkat dari 500 orang semasa pandemik Covid-19 kepada 1,300 hingga 1,500 penumpang sehari.


Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard Stephen Poyong berkata peningkatan ini disebabkan usaha JKNS yang telah menggunakan keretapi-keretapi baharu dan selesa kepada penumpang.


“Selain daripada itu, kita juga berusaha memastikan kadar gangguan perjalanan diminimakan yang disebabkan oleh kerosakan jentera dan landasan.


“Oleh itu, pihak JKNS pada ketika ini turut menyediakan kepala keretapi dan gerabak penumpang simpanan yang sedia digunakan apabila berlaku kerosakan jentera yang ditempatkan di beberapa stesen seperti Tanjung Aru dan Beaufort bagi mengganti gerabak keretapi yang rosak secara segera.


“Ini merupakan salah satu kaedah yang digunapakai JKNS bagi meminimumkan gangguan perjalanan keretapi di negeri ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu lintas langsung sempena Program Mangayau Ging Bubut Bersama JKNS Sempena Sambutan Hari Radio Sedunia di Stesen Keretapi Tanjung Aru, pada Isnin.


Jelas beliau lagi, usaha tersebut telah berjaya meningkatkan kepercayaan penduduk sekitar jajaran landasan sejauh 140 kilometer bermula dari Stesen Keretapi Sembulan ke Tenom yang memilih perkhidmatan berkenaan sebagai pengangkutan awam.


Comments


bottom of page