top of page

Pusat Islam Sandakan dijangka siap Disember ini

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

Walter (tengah) ketika ditemui media.
Walter (tengah) ketika ditemui media.

24 Julai 2025


KOTA KINABALU: Projek Pusat Islam Sandakan yang kini mencapai kemajuan 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Disember ini.


Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson berkata pihaknya komited untuk menyiapkan kompleks moden yang diilhamkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman itu menjelang hujung tahun ini dan boleh digunakan semasa Solat Hari Raya tahun depan.


"Kami cuba jadualkan untuk siapkan pada hujung tahun ini, sebaik-baik hujung tahun ini supaya ia boleh digunakan sepenuhnya pada hari raya pada tahun hadapan.

CENDERAMATA...Walter menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa.
CENDERAMATA...Walter menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa.

"Ini disebabkan kita punya sasaran utama ialah pada Hari Raya 2026, Pusat Islam Sandakan boleh dirasmikan dan boleh digunakan sepenuhnya," jelas beliau.


Mengulas lanjut ujar Walter, pusat tersebut akan menggunakan reka bentuk, motif serta kemasan dari Uzbekistan yang disesuaikan dengan motif tempatan Sabah.


"Setakat ini, progres sangat positif dan itulah sebabnya ada beberapa perkara yang kami memohon perkenan daripada Tuan Yang Terutama Tun untuk mendapat kebenaran beberapa jenis motif, reka bentuk dan kemasan.


"Tun memohon untuk diterapkan beberapa elemen dalam bahagian-bahagian tertentu dalam pusat Islam ini. Jadi, beberapa ruang utama terutama sekali kawasan solat, ruang dewan utama dan juga ruang menunggu VIP, Tun memohon untuk diterapkan motif dan juga reka bentuk daripada Uzbekistan disesuaikan dengan motif dan reka bentuk tempatan," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.


Sementara itu, Tun Musa dalam kenyataan hari ini amat berbesar hati menyaksikan kemajuan memberangsangkan dalam pembinaan Pusat Islam Sandakan yang bakal menjadi mercu tanda penting bagi pembangunan syiar Islam di pantai timur Sabah.


Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah dan pendidikan, malah akan menjadi pusat penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama melalui pendekatan dakwah yang inklusif dan harmoni.


"Saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan kerajaan negeri atas komitmen terhadap pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat. Semoga Pusat Islam Sandakan menjadi simbol kemajuan rohani dan perpaduan di Sabah," menurut kenyataan tersebut.


Projek pembinaan Pusat Islam Sandakan telah bermula sejak tahun 2017 lagi dengan kos RM60 juta di tapak seluas 5.2 hektar di Jalan Sungai Kayu, Sandakan namun tertangguh akibat beberapa perkara termasuk pandemik Covid-19 dan pergolakan politik di Sabah.


Apabila siap kelak, bangunan yang dilengkapi pelbagai kemudahan turut menempatkan tadika, pusat tahfiz, pusat pentadbiran JHEAINS, MUIS dan Baitulmal, dewan serbaguna serta dewan solat yang boleh memuatkan sehingga lebih 1,000 jemaah./Penerangan-

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page