Pusat Khidmat ADUN Kadamaian terus sokong aktiviti sukan tempatan sampaikan sumbangan RM10,000 bagi pertandingan Dart
28 September 2024
KOTA BELUD: Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian terus menyokong penganjuran aktiviti sukan tempatan yang dapat memperkukuhkan hubungan komuniti.
Hari ini, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian yang diwakili oleh Pemaju Mukim di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick kepada penganjur pertandingan Dart di Lontupak, Purak Ogis.
Sumbangan diserahkan kepada Pengerusi Penganjur, Alexsius Sagun, dari Kelab D' Lontupak Dart, yang menganjurkan pertandingan ini.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Khidmat ADUN N11 untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
"Kelab D' Lontupak Dart amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian. Sumbangan ini akan membantu kami dalam mempertingkatkan penganjuran aktiviti sukan di kampung ini," kata Alexsius.
Pertandingan Dart di Lontupak bukan sahaja menarik minat penduduk setempat, tetapi juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara komuniti di kampung-kampung sekitar.
Dengan adanya sumbangan ini, penganjur berharap dapat meningkatkan kualiti pertandingan dan penyertaan yang lebih meluas pada masa hadapan.
Commentaires