top of page

Pusat Komunikasi Korporat UMS Tawan Bukit Maragang

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

26 Januari 2026


KOTA KINABALU: Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan Bukit Maragang atau Maragang Hill dalam satu program team building yang dianjurkan bagi mengeratkan kerjasama serta memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan kakitangannya.


Pengarah PKK UMS, Dr. Rizal Zamani Idris berkata, penganjuran program tersebut merupakan usaha berterusan PKK UMS dalam membentuk pasukan kerja yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan saling menyokong antara satu sama lain.


“Program team building ini dianjurkan untuk mengukuhkan hubungan kerja, meningkatkan komunikasi serta memupuk kepercayaan dalam kalangan warga PKK UMS melalui aktiviti luar yang mencabar,” katanya.

Menurut beliau, pendakian ke Bukit Maragang yang berketinggian 2,232 meter menjadi kemuncak program dan menguji kekuatan mental serta fizikal peserta, selain menuntut tahap kerjasama berpasukan yang tinggi.


“Cabaran pendakian ini memerlukan kesabaran, ketahanan diri dan sokongan antara ahli pasukan. Kejayaan menawan puncaknya mencerminkan semangat setiakawan dan kesepaduan pasukan yang kukuh,” katanya lagi.


Program team building tersebut dikendalikan oleh Kelab Korporat UMS yang dipengerusikan oleh Lolita Mohd Taib dengan pengisian aktiviti yang dirancang secara berperingkat dan berfokus kepada pembinaan pasukan.


Menurut Lolita, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dipilih bagi memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara lebih terbuka serta membina kefahaman dan kepercayaan dalam pasukan.


“Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk berkayak, ATV dan pendakian Bukit Maragang yang menjadi kemuncak program. Setiap aktiviti dirangka untuk menguji kepimpinan, daya tahan serta keupayaan bekerjasama dalam kumpulan,” katanya.


Tambah beliau, laluan pendakian yang mencabar telah menyerlahkan nilai kerjasama apabila peserta saling membantu dan memberi dorongan sepanjang perjalanan.


Program ini diharap dapat memperkukuh silaturahim, meningkatkan motivasi kerja serta membentuk budaya kerja berpasukan yang lebih mantap dalam kalangan kakitangan PKK UMS, selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan organisasi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page