Pusat sejuk beku FAMA bantu atasi lambakan hasil tani

8 Ogos 2021
KOTA KINABALU: Pusat Pemprosesan Sejuk Beku kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berupaya membantu mengatasi lambakan hasil tani di Sabah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Ronald Kiandee berkata, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan tani untuk menyimpan produk yang tidak dapat dipasarkan terutamanya sejak pandemik Covid-19 melanda.
"FAMA berusaha membeli hasil tani yang tidak dapat dijual bagi mengelakkan berlaku lebihan atau lambakan hasil tani kemudiannya akan memproses produk tersebut sebagai produk sejuk beku di pusat ini untuk dijual kemudian.
"Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA sebegini adalah antara usaha untuk mewujudkan satu rantaian pemasaran yang lengkap dan teratur serta sebagai kemudahan untuk usahawan tani memproses hasil keluaran mereka dan seterusnya dihantar ke Semenanjung Malaysia atau dieksport," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Sidang Media sempena Lawatan Kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan ke Pusat Pemprosesan Buah-buahan di Pejabat FAMA Sabah, pada Sabtu. Dalam pada itu, Ronald turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada Usahawan Pasar Tani, Industri Makanan dan Gerai Buah-buahan Segar FAMA (GBBS).

Menurut Ronald, sumbangan tersebut merupakan kesinambungan daripada program MAFI Prihatin bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka yang terjejas akibat daripada pandemik Covid-19.
Antara yang menerima sumbangan berupa produk hasil pertanian ialah Pasar Tani Papar yang menerima sumbangan sebanyak 150 kotak manakala Pasar Tani Taman Putera Jaya Telipok dan Pasar Tani Asia City masing-masing menerima 50 kotak.
Turut hadir, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid.
Comments