top of page

Putatan lokasi pertama Jelajah KKTP

  • nabalunews
  • 10 minutes ago
  • 1 min read

6 April 2026


PUTATAN: Daerah Putatan menjadi lokasi pertama pelaksanaan Program Jelajah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dalam usaha meninjau isu semasa serta keperluan rakyat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata antara isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan penyediaan Program Perumahan Rakyat (PPR), masalah setinggan serta aspek kebersihan.


“Saya menerima taklimat yang amat baik daripada Majlis Daerah Putatan dan beberapa isu telah dikemukakan.

“Sehubungan itu, kementerian akan mencari penyelesaian secara bersama bagi menangani isu-isu berkenaan mengikut keutamaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Jelajah KKTP di sini, hari ini.


Beliau berkata, program jelajah itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar di lapangan selain mendengar perancangan majlis daerah dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


Menurutnya, sebahagian isu di Putatan seperti kebersihan telah diambil tindakan oleh Majlis Daerah, namun usaha penambahbaikan akan diteruskan dari semasa ke semasa.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan pendekatan jelajah berkenaan turut digabungkan dengan penglibatan jabatan dan agensi agama bagi memperkukuh program pembangunan komuniti.


“Antaranya kita akan mengadakan program Tadarus Subuh di beberapa lokasi sempena jelajah ini,” katanya yang turut meninjau tapak projek pembinaan pejabat baharu Majlis Daerah Putatan.


Turut hadir, Pembantu Menteri I KKTP Datuk Fairuz Renddan; Pembantu Menteri II KKTP Datuk Dr Maijol Mahap; Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Keramat Shah Alfie Yahya; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Awang Juri Awang Tahir serta Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page