top of page

Rafizi Letak Jawatan

  • nabalunews
  • May 28
  • 2 min read

28 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 17 Jun depan.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Rafizi menegaskan akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun ini.


Katanya, beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.


“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.


“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.


“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini,” katanya.


Rafizi berkata, beliau percaya kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam yang ada berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.


“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.


“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.


“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.


“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri,” katanya.


Sementara itu, Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.


“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.


“Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” tegasnya.


Sebelum ini, Rafizi mengumumkan bersedia untuk melepaskan jawatan dalam parti dan kabinet sekiranya tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR.


Pada pemilihan parti 23 Mei lalu, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti.


Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan kedua tertinggi kepimpinan parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page