Hubungi 997 segera jika jadi mangsa scammer - Fahmi
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

4 Mac 2026
PUTRAJAYA: Mangsa penipuan dalam talian (scammer) digesa segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi meningkatkan peluang menyelamatkan wang dalam akaun sebelum lesap.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan pantas dalam tempoh ‘golden hour’ amat kritikal kerana kelewatan melaporkan insiden tersebut akan menyukarkan usaha menyekat aliran wang keluar daripada akaun keldai.
"Pihak kerajaan amat prihatin terutama apabila meneliti sistem NSRC yang menunjukkan bagaimana aliran wang keluar daripada akaun mangsa melalui pelbagai lapisan akaun keldai dengan begitu pantas.
"Masyarakat tidak perlu lagi membuat laporan polis secara berasingan di peringkat awal, memadai dengan menelefon 997 kerana operasi NSRC telah dibesarkan dengan kehadiran pegawai polis, pihak bank komersial dan wakil syarikat telco yang bersedia membantu," katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Fahmi turut berkongsi satu kes membabitkan seorang mangsa yang kehilangan RM1 juta, namun hanya RM170,000 berjaya diselamatkan berikutan laporan dibuat lapan jam selepas kejadian.
“Dalam kes berbeza, jumlah wang yang berjaya diselamatkan adalah hampir 100 peratus apabila mangsa menelefon NSRC pada kadar segera.
“Justeru, saya harap rakan media dapat mewar-warkan talian 997 ini supaya tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan duit rakyat yang dicuri,” katanya.
NSRC yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu itu menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam membanteras jenayah siber melalui pengukuhan operasi pusat berkenaan yang kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan.















Comments