RUU had tempoh jawatan PM dibentang semula Jun ini
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

4 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun pada persidangan Dewan Rakyat, Jun ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat keputusan bahawa rang undang-undang tersebut akan dibawa semula dalam sidang mesyuarat yang berikutnya sekitar bulan Jun.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan ahli-ahli parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pindaan tersebut merupakan sebahagian agenda reformasi institusi yang memberi manfaat kepada sistem demokrasi negara dalam jangka panjang.
Menurutnya, Jemaah Menteri turut diberikan taklimat oleh Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai status lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi RUU itu.
Dalam pada itu, Fahmi turut mendedahkan wujudnya kekeliruan dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang yang menyangka undian tersebut bersifat peribadi kepada penyandang jawatan sekarang, sedangkan ia merupakan satu usaha reformasi institusi yang menyeluruh.
“Seharusnya semua Ahli Parlimen memahami isu ini untuk memastikan tidak lagi berlaku keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa beliau boleh melakukan apa sahaja kerana berkuasa sampai bila-bila.
“Jadi, saya harap pihak kerajaan dan pembangkang dapat memastikan pindaan Perlembagaan ini tidak bersifat partisan yang hanya menguntungkan demokrasi negara apabila diluluskan bersama,” katanya.
Kelmarin, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen iaitu 148, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.















Comments