top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakan 'Class of 2000' SM St Michael alu-alukan khidmat Ewon untuk Penampang

Ewon bersama rakan-rakan alumni SM St.Micheal Penampang.

29 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Alumni 'Class of 2000' Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang mengalu-alukan khidmat rakan sekolah mereka, Datuk Ewon Benedick untuk Penampang.


Dalam satu majlis ringkas makan malam semalam, mereka menyatakan sokongan dan mengalu-alukan pencalonan Ewon sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi parlimen Penampang dalam pilihanraya umum ke-15 (PRU15) ini.


Rakan sekelas Ewon, Cikgu Osmund Justine yang menganjurkan makan malam tersebut menyatakan penglibatan aktif Ewon dalam Kelab Kebajikan dan Kelab Pemimbing Rakan Sebaya semasa di SM St Michael.

"Bersama-sama dengan beliau, kami telah menubuhkan pasukan bola sepak Blues Corner SM St Michael dan menjuarai pertandingan bola sepak pantai anjuran Lembaga Sukan Sabah di Tanjung Aru pada tahun 2000.


"Apabila kami mendaki Gunung Kinabalu selepas peperiksaan SPM, kami singgah bermalam di rumah Ewon di Kg Kiau. Hari ini kami mahu mengalu-alukan khidmat beliau untuk Penampang dan kami mendoakan kemenangan beliau dalam pilihanraya ini. Saya pasti beliau boleh memberikan yang terbaik dalam perkhidmatannya," katanya.


Sementara itu, Ewon turut menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan alumni SM St Michael kerana bersedia membantu dan menyokong beliau untuk memberi perkhidmatan di Penampang.


"Semasa dalam Kerajaan yang lalu, saya melawat sekolah lama saya, SM St Michael dan telah menyampaikan sumbangan peruntukan kecil ketika itu. Saya berharap terus berpeluang untuk memberi kembali kepada sekolah yang telah membina saya. Ora et labora," katanya.

Comments


bottom of page
<