Rakyat harus berbangga dengan produk jenama Malaysia
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat harus berbangga dengan produk jenama Malaysia


18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 tidak hanya bertujuan untuk merancakkan ekonomi domestik, tetapi juga untuk memupuk semangat patriotisme dan sokongan kepada usahawan tempatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.


Beliau berkata, rakyat perlu berbangga menggunakan barangan tempatan dan tidak seharusnya terus dijajah dengan produk-produk keluaran luar negara.


"Satu daripada objektif utama KBBM adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri dengan menyokong produk barangan kita sendiri. Kitalah penggerak dalam memastikan barangan Malaysia ni dapat pergi lebih jauh dan dikenali sehingga ke peringkat Antarabangsa," katanya pada majlis pelancaran KBBM peringkat Lotus's Malaysia di Lotus's Cheras, di sini, semalam.


Beliau berkata, kementeriannya selaku peneraju utama bagi KBBM sentiasa komited dalam memastikan produk jenama Malaysia dapat diperluaskan pasarannya hingga ke luar negara dan tidak terhad hanya kepada produk pilihan seperti makanan, minuman dan kecantikan, malah turut meliputi segmen lain seperti kraftangan, perabut dan fesyen.


Dalam pada itu, kementerian turut menyasarkan peningkatan 2.5 peratus jumlah jualan KBBM 2023, daripada RM2.7 bilion yang diraih tahun lalu.


"Bagi peringkat Lotus's Malaysia, menerusi KBBM, mereka telah mencatatkan jualan sebanyak RM40.1 juta pada tahun lalu berbanding RM34.6 juta pada 2021. Peningkatan hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM ini menunjukkan bahawa Lotus's amat komited dalam membantu usahawan tempatan walaupun berdepan dengan pascaCOVID-19 mahupun isu kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia," katanya.


Beliau juga memuji usaha Lotus's Malaysia yang telah melabur sebanyak RM50 juta untuk membuat potongan secara tetap untuk lebih dari 3,500 produk melalui program #LotussLebihMurah.


"Ia memberi pelanggan diskaun purata hingga 37 peratus untuk produk runcit berjenama nasional dan jenama Lotus's bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin menekan kewangan isi rumah rakyat Malaysia," katanya.


Beliau berkata, kerjasama antara kementerian dan Lotus's Malaysia telah memberi impak positif terhadap pembangunan industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) negara.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page