Rakyat inginkan pembaharuan dalam kerajaan “bi-partisan"
- Wartawan Nabalu News
- Aug 21, 2021
- 2 min read

21 Ogos 2021
Sebagai rakyat yang menhormati Perlembagaan Malaysia, Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita menjunjung kasih ke atas titah Yang Di-Pertuan Agong di atas pelantikan Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-sembilan. Kita menerimanya dengan hati yang terbuka kerana ia menurut Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Malaysia. Kita juga menerimanya dengan harapan tinggi kehendak Yang Di-Pertuan Agong supaya satu lanskap politik baru perlu dibentuk dengan pelantikan Perdana Menteri yang baru ini. Aspirasi Yang Di-Pertuan Agong adalah aspirasi rakyat Malaysia juga. Ini menjadi cabaran pertama dan utama Perdana Menteri yang baru ini kerana lanskap politik baru ini melibatkan pembentukan kerajaan yang "bi-partisan". Ini bermakna kerajaan baru ini akan melibatkan semua pihak samada kerajaan atau pembangkang. Ia melibatkan perkongsian kuasa dan konsensus. Ini genting dalam memastikan kestabilan politik supaya tumpuan penuh kepada pandemik covid-19 dan pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan. Perdana Menteri baru juga perlu juga mengambil inisiatif dalam melaksanakan perkara-perkara penting seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri yang lalu iaitu: (1) Penambahan siling dana covid-18; (2) Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal sahaja dibentangkan di Parlimen; (3) RUU Anti-Lompat Parti dibentangkan di Parlimen; (4) Reformasi Parlimen untuk memastikan autonomi dan "independence"nya daripada kuasa eksekutif perlu diperkukuhkan dan dilaksanakan; (5) Perlaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik; (6) RUU yang akan dibentangkan di Parlimen termasuk RUU Perbekalan dirunding dengan pihak pembangkang; dan (7) Semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik supaya perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing dapat diselaraskan dengan cara yang seimbang. Rakyat sudah muak dan tidak mahu lagi pengsengketan politik yang membantutkan usaha memerangi covid-19 dan memulihkan ekonomi. Rakyat sudah muak dengan ahli-ahli politik yang mementingkan cita-cita peribadi dan yang gilakan kuasa. Rakyat sudah muak dengan korupsi, kleptrokasi dan "bad governance". Rakyat inginkan pembaharuan. Jika Perdana Menteri baru gagal untuk mewujudkan lanskap politik yang baru dan kestabilan politil tidak dapat dicapai maka yang menerima padahnya adalah negara dan rakyat. Jangan kita lupa, pada 17 Ogos 2021 Yang Di-Pertuan Agong bertitah bahawa Perdana Menteri baru perlu menguji dan membukti sokongan majoritinya di persidangan Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 6 September 2021. Menurut Perkara 43(4), Perlembagaan Malaysia, jika Perdana Menteri tidak lagi memegang sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat, maka dia perlu meletakkan jawatan berserta dengan kabinetnya. Ertikata lain Perdana Menteri masih perlu memperkukuhkan pelantikannya di persidangan Parlimen akan datang. Kita mengucap tahniah atas lantikan Perdana Menteri yang baru kerana kita rakyat yang beradat dan beradab. Walau demikian, semua pihak harus tidak terlalu terangsang dan perlu tenang kerana pelantikan Perdana Menteri baru hanya langkah yang pertama. Kita berdoa dan memegang harapan bahawa Perdana Menteri baru ini "will do the right thing" dan mengambil ikhtibar daripada Yang Di-Pertuan Agong yang menyatakan, "the winner doesn't take all". Perdana Menteri baru harus tahu bahawa rakyat kita inginkan kemakmuran negara dan kesejahteraan mereka diberikan keutamaan dan perhatian yang sewajarnya. The rakyat doesn't want "old wine in a new bottle". YB Senator Datuk Donald Peter Mojuntin Timbalan Presiden UPKO















Comments