Rakyat perlu bersatu padu, jaga keamanan negara - Agong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat perlu bersatu padu, jaga keamanan negara - Agong


22 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitipkan pesanan agar rakyat Malaysia menanam iltizam untuk bersatu padu dan menjaga keamanan serta kedamaian negara.


Baginda berkata, rakyat harus bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana harmoni dan toleransi di kalangan pelbagai bangsa dan agama, berbeza dengan umat Islam di Palestin yang ditindas oleh rejim Israel.


"Merentasi pelbagai sempadan dan perbezaan, rakyat Malaysia meraikan kedatangan hari kebesaran pelbagai agama dengan penuh keharmonian serta saling menziarahi.


"Rakyat Malaysia juga boleh meneruskan kehidupan seharian dengan penuh rasa toleransi dan dengan tanpa wujud jurang perbezaan antara bangsa dan agama. Ia merupakan anugerah dan nikmat yang tiada bandingannya daripada Allah SWT," titah baginda dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan stesen televisyen dan radio tempatan malam semalam.


Baginda turut mengutuk serangan terhadap jemaah Palestin serta pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel ketika umat Islam beribadat di bulan Ramadan.


"Marilah kita membentuk dan sebatikan dalam setiap sanubari, jiwa serta raga untuk menjunjung kesetiaan kepada raja dan negara sebagai landasan pencetus perpaduan yang utuh untuk dijadikan bekalan bagi membentuk masa depan negara yang gemilang," titah baginda.


Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertugas pada perayaan ini terutama petugas perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang menggalas amanah menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.


Baginda turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi serta dirahmati Allah SWT, tidak kira di mana mereka berada.


"Marilah bersama kita berdoa semoga negara Malaysia yang kita cintai ini akan terus kekal aman sentosa dalam satu semangat perpaduan yang utuh serta maju jaya melangkah menuju masa hadapan yang gemilang," titah baginda.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page