- Wartawan Nabalu News
Rakyat Sabah sambut baik keputusan tarif elektrik SESB dikekalkan
2 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak menaikkan tarif elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada masa kini.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, keputusan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan terhadap beban kos hidup rakyat yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, penggunaan elektrik di Sabah juga meningkat pada musim panas ini dan sekiranya tarif elektrik dinaikkan, ia akan menambah lagi tekanan kewangan kepada rakyat.
"Kita berterima kasih atas pengumuman mengekalkan tarif elektrik di Sabah yang jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan terhadap rakyat
“Kita berharap dengan keputusan itu sekurang-kurangnya dapat menangani beban kos hidup rakyat yang semakin bertambah khususnya ketika musim panas masa kini apabila penggunaan elektrik meningkat," katanya.
Sementara itu, beliau juga menyokong usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melaksanakan projek pemasangan panel solar di bumbung-bumbung bangunan sebagai sumber bekalan elektrik alternatif yang lebih murah dan mesra alam.
Beliau berkata, projek ini akan membantu mengurangkan kos penjanaan elektrik dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah yang masih belum mendapat bekalan elektrik.
"Projek ini sangat penting bagi membolehkan rakyat Sabah terus dapat menikmati bekalan elektrik dengan kos berpatutan selain membolehkan lebih banyak kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik mendapat kemudahan itu pada masa depan. Kita juga berharap projek panel solar ini mengurangkan masalah kejadian bekalan elektrik terputus yang sering berlaku," katanya.
Comments