top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat susah perlu dibela dan dibantu: Ewon

12 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Rakyat yang mempunyai kesusahan perlu dibela dan disantuni, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, ia adalah antara perjuangannya tetap kekal dalam parti walaupun berhadapan pelbagai cabaran dan rintangan.


Katanya lagi, kepimpinanya adalah kepimpinan yang bekerja keras, ada wawasan dan pencapaian, kepimpinan yang di-inspirasi dan meng-inspirasi, kepimpinan berasaskan pendekatan common sense dalam menjunjung matlamat perjuangan parti kita.

“Kepimpinan bermula daripada rumah. Saya mendewasa dengan penuh cabaran tapi dikelola dengan ketegasan disiplin dan kesantunan kepimpinan di rumah.


“Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal tidak mudah, tetapi perjuangan dan pengorbanan ibu saya sebagai ketua keluarga akan terus menjadi pengukur kecekalan, kebertanggungjawaban dan komitmen saya selaku ketua keluarga UPKO hari ini.


“Sebab itu saya akan terus fokus kepada tujuan saya memilih berada dalam kepimpinan melalui Parti UPKO, iaitu rakyat yang mempunyai kesusahan perlu dibela dan disantuni,” katanya ketika berucap melancarkan Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-29, di Dewan Masyarakat, Kg.Biau, di sini, hari ini.

Mengimbas titik mula perjuangannya sebagai wakil rakyat di Kadamaian, Ewon berkata, perkara pertama yang beliau laksanakan ialah membina kemudahan tamu mingguan Taginambur.


“Tamu itu kini dikenali Kadamaian Square kerana saya pernah menolong ibu saya berjual di tamu dan melihat keadaan tamu yang tidak selesa sebelum itu.


“Seterusnya tahun ini selepas menjadi Wakil Rakyat Penampang dan diberi amanah sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, antara perkara pertama yang saya inisiatifkan ialah memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) melalui agensi kementerian iaitu TEKUN Nasional.


“Ini kerana saya percaya usahawan tamu tidak hanya perlukan kemudahan ruang niaga yang selesa, tetapi juga bantuan modal pusingan,” katanya.


Dari segi perjuangannya untuk parti itu, Ewon berkata, bidang pendidikan dan keusahawanan turut menjadi fokus utama.


Sehubungan itu katanya, beliau akan memperkasa semula INDEP Education Foundation untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program pembangunan pendidikan terutama membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bukan hanya danasiswa, tetapi bantuan tuisyen.


“Kerjasama INDEP Education Foundation dengan kerajaan juga akan mencakupi pembudayaan minat dalam pembangunan keusahawaan termasuk bidang ekonomi baharu dan mengambil bahagian penting dalam pemeliharaan pendidikan ibunda seperti bahasa Kadazandusun yang sedang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan.


“Sebagai inisiatif awal, saya akan memimpin sendiri kerjasama strategik di antara INDEP Education Foundation dan Yayasan Bank Rakyat untuk menjayakan halatuju tersebut, seterusnya kolaborasi dengan koperasi-koperasi terbaik di negara kita,” katanya.

Comentários


bottom of page