RAMAI KECEWA KEHABISAN TIKET BAS BALIK KAMPUNG
- nabalunews
- Jan 12, 2021
- 2 min read

12 Jan 2021
Oleh Anne Sham
KOTA KINABALU: Tinggal beberapa jam sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa tengah malam ini, orang ramai dilihat sibuk membuat persediaan memulakan perjalanan pulang kampung halaman masing-masing terutama yang menggunakan perkhidmatan awam seperti bas ekspress dan juga kenderaan persendirian.
Di Terminal Bas Inanam, kelihatan ramai orang berpusu-pusu membeli tiket balik kampung terutamanya di bahagian Pantai Timur Sabah seakan-akan balik kampung cuti raya.
Berdasarkan tinjauan Wartawan Nabalu News, ramai yang tersadai kerana kehabisan tiket bas dan mengharapkan ‘nasib’ untuk mendapatkan tiket bas balik kampung atau “kereta sapu” sebelum tengah malam ini.
Rata-rata perantau di Kota Kinabalu yang membanjiri Terminal Bas Inanam untuk mendapatkan tiket balik ke kampung masing-masing kecewa apabila tiket yang dijual telah habis awal pagi tadi.
Omar Jardi dari Kg Simunul, Semporna berkata, beliau hampa kerana tidak dapat tiket bas dan akan berusaha mencari jalan lain untuk balik Semporna hari ini.

“Sudah satu tahun tak balik Semporna, saya tidak sangka PKP akan berkuatkuasa hari ini kerana baru diumumkan semalam.
“Saya datang ke sini (Terminal Bas Inanam) kira-kira jam 1 petang … tiada sudah tiket bas balik Semporna,” kata Omar yang ditemani anaknya Adriashah.
Beliau berkata, anaknya sedih kerana sudah setahun tidak berjumpa ibunya yang kurang sihat di kampung halaman.
Seorang lagi penumpang, Nurjita Haya berkata, dia berhasib baik kerana sempat membeli tiket bas untuk balik Lahad Datu.

“Saya balik Tunku lahad Datu, syukur anak saya sempat membeli tiket bas semalam sebelum habis … ramai yang tidak sempat membeli tiket hari ini kerana mereka kehabisan tiket,” katanya.
Keadaan di Terminal Bas Inanam masih terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan di bahagian kaunter pembelian tiket dan orang ramai juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan bahawa PKP akan dilaksanakan di enam buah negeri termasuk Sabah selama dua minggu bermula jam 12.01 tengah malam (13 Jan).















Comments