Rampasan minuman keras dan rokok bernilai RM4.45 juta
nabalunews

5 Februari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.45 juta serta menahan lima individu menerusi Op Kontraban, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi itu dijalankan secara bersepadu oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM, pasukan Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) JKDNKA serta Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.
Katanya, operasi bersepadu itu melaksanakan serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah Keningau pada Isnin dan Selasa.
“Polis berjaya merampas 4,580 katon minuman keras pelbagai jenis dan 80 kotak rokok pelbagai jenis yang disyaki tanpa cukai Kastam.
“Turut dirampas pelbagai peralatan lain termasuk kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM4.453 juta,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Yampil berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut berjaya menahan lima suspek terdiri termasuk seorang warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 46 tahun.
Katanya, semua yang ditahan mengaku terlibat dan menjalankan kegiatan penyeludupan sejak awal November lalu.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk siasatan lanjut.
“Semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 8 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Comments