RATA saran pengusaha pelancongan Kundasang, Ranau beri kemudahan terbaik
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RATA saran pengusaha pelancongan Kundasang, Ranau beri kemudahan terbaik


Gambar Hiasan

1 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Pelancongan Ranau (RATA) menyeru para pengusaha pelancongan khususnya di kawasan Ranau dan Kundasang supaya menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk memberi keselesaan pelancong.


Presiden RATA Malvin Marcus berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya demi kemajuan dan kestabilan masyarakat di Ranau.


“Berdasarkan ketidakpuashatian yang disuarakan oleh masyarakat Ranau, terutama di Kundasang mengenai kesesakan lalu lintas semasa cuti, Persatuan Pelancongan Ranau ingin menyeru kepada pengusaha-pengusaha pelancongan supaya menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk keselesaan pelancong.


“Akibat daripada kesesakan lalu lintas yang berlaku, para pelancong banyak menghabiskan masa di atas jalan raya dan tidak berpeluang untuk melawat tempat-tempat pelancongan yang lain serta menganggu aktiviti seharian masyarakat Kundasang,” katanya, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan pengunjung mengenai pengurusan Desa Dairy Farm Kundasang.


Sumber FB Sabah Info

Sehubungan itu Malvin berkata, persatuan mereka mencadangkan lima perkara kepada pengusaha pelancongan (pusat rekreasi atau penginapan) di sekitar Kundasang.


“Cadangan pertama ialah menyediakan kawasan letak kereta yang lebih luas pada musim cuti sekolah dan cuti am.


“Membuka satu jam lebih awal dan menutup satu jam lewat agar para pelancong boleh merancang masa dengan lebih teratur pada musim cuti sekolah dan am.


“Bagi pusat pelancongan yang menerima lebih 100 pelawat setiap kali cuti, sistem pembelian tiket haruslah lebih lancar dengan pembelian tiket secara online dan kaunter masuk khas online harus dibuka (agar tidak bercampur dengan pelawat walk in),” katanya.


Persatuan itu turut mencadangkan supaya perkhidmatan shuttle bus dari pekan Kundasang ke Desa Dairy Farm harus dipertimbangkan oleh pihak Desa Group untuk penyelesaian jangka pendek jika pembangunan seperti tambahan kawasan letak kereta dan tambahan jalan masuk mengambil masa yang lama.


“Kajian pembinaan cable car di Kundasang harus diperbaharui oleh pihak Kerajaan Negeri Sabah dan melihat kepada relevansinya pada masa kini, sejajar dengan pembangunan pesat di Ranau,” katanya.

bottom of page