Rebut Pelanggan Punca Pergaduhan Dua Syarikat Pelancongan
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

29 Mac 2026
KOTA KINABALU: Perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan dipercayai menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah kios di kawasan Jesselton Point, di sini, semalam.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu turut menyebabkan suasana di lokasi kecoh sehingga berlaku adegan membaling kerusi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perebutan pelanggan antara pekerja dua syarikat pelancongan di kawasan berkenaan.
“Pergaduhan itu telah menyebabkan berlaku kerosakan terhadap harta benda milik pihak lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pengusaha kios yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam.
“Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh individu yang terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut, namun rakaman video kejadian telah tular di media sosial,” katanya.
Menurutnya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
“Usaha mengesan serta mengenal pasti individu yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan berkenaan.
Rakaman itu menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak agresif termasuk membaling kerusi di tepi jalan sehingga mengundang kecaman netizen di media sosial.











