Reformasi Kehakiman: Malaysia laksana kajian sistem negara luar
- nabalunews
- Jul 11, 2025
- 1 min read

11 Julai 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kajian perbandingan awal mengenai pendekatan sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara terpilih sebagai sebahagian daripada inisiatif reformasi sistem kehakiman negara.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam kenyataan memaklumkan kajian itu melibatkan United Kingdom, India, Australia dan Singapura yang mempunyai sistem kehakiman serupa.
Katanya, langkah tersebut akan memberi kefahaman holistik tentang proses pelantikan kehakiman di negara berkenaan bagi membolehkan Malaysia menilai secara keperluan reformasi dan menyesuaikan amalan terbaik mengikut konteks negara.
“Ia juga bertujuan untuk menilai model pelantikan kehakiman berkesan, mengenal pasti amalan terbaik dan mengesyorkan pembaharuan sesuai bagi konteks Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Perkara itu dikemukakan selepas perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol, serta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen.
Menurut BHEUU JPM, perbincangan itu diadakan berhubung keprihatinan rakyat mengenai reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
“Dalam sesi ini, kedua-dua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas turut menyampaikan kebimbangan berhubung perkembangan terkini mengenai isu pelantikan kehakiman dan menekankan kepentingan penelitian yang lebih mendalam bagi memastikan proses tersebut lebih telus dan diyakini,” katanya.
Sementara itu, kerajaan melalui BHEUU JPM turut mengalu-alukan pandangan serta maklum balas orang awam mengenai perkara ini.
“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap perspektif diambil kira sebelum hasil kajian dibentangkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
"Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam dengan melaksanakan reformasi yang berasaskan keterangan dan telus,” katanya.















Comments