top of page

Reformasi Parlimen dari Perspektif Sabah

  • nabalunews
  • Sep 8, 2021
  • 2 min read


ree

8 September 2021


KOTA KINABALU: Yayasan WISDOM menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak mereformasi Parlimen Malaysia dengan mempertimbangkan perspektif Sabah berdasarkan semangat pembentukan Malaysia seperti yang dimaktubkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Pengerusi Eksekutif WISDOM Foundation Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, Sarawak merupakan negeri dengan keluasan tanah terbesar di Malaysia pada 124,450 km², diikuti oleh Sabah pada 73,631 km².


“Hakikatnya, Sabah dan Sarawak merupakan tanah besar Malaysia, merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan tanah negara.


“Disamping itu, Sabah dan Sarawak sangat kaya dengan sumber semula jadi, namun rakyat di negeri-negeri ini, terutamanya rakyat Sabah, merupakan rakyat yang termiskin di negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, walaupunpun Sabah akan menyambut Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021, Sabah tetap menjadi negeri dengan kadar kemiskinan mutlak tertinggi pada 25.3 peratus, hampir dua kali ganda peratusan negeri Sarawak iaitu 12.9 peratus pada tahun 2020 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Beliau berkata, ini jelas menunjukkan bahawa ada keperluan penting untuk suara dan pengundian yang lebih besar dari wakil rakyat dan Senator daripada Sabah dan Sarawak di Parlimen Malaysia.


“Pada 1963, Dewan Rakyat terdiri daripada 159 kerusi ketika Malaysia dibentuk: 104 kerusi untuk Tanah Melayu, 16 kerusi untuk Sabah, 24 kerusi untuk Sarawak, dan 15 kerusi untuk Singapura.

Berdasarkan pengaturan ini, hanya 34% kerusi parlimen mewakili kawasan pilihan raya dari luar Tanah Melayu dan ketika Singapura berpisah dari Malaysia, peratusan ini turun menjadi 25%.


“Hari ini, Dewan Rakyat terdiri daripada 222 kerusi: 166 kerusi untuk Semenanjung Malaysia, 25 kerusi untuk Sabah, dan 31 kerusi untuk Sarawak.

Malangnya, peratusan kerusi parlimen yang bukan dari Semenanjung Malaysia hanya kekal 25% di mana Sabah hanya memiliki 11% sementara Sarawak memiliki 14% sahaja,” katanya.


Madius berkata, Parlimen memerlukan banyak reformasi untuk mendapatkan kembali zaman kegemilangannya sebagai cabang perundangan yang bebas, namun Kerajaan Persekutuan mesti bertindak atas ketidakseimbangan ini dalam pembahagian kerusi di antara negeri-negeri di Malaysia.


“Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi rakan setara dengan Tanah Melayu, malangnya sejak awal lagi, jumlah kerusi selalu tidak dibahagikan secara sama rata dengan Tanah Melayu yang mempunyai 2/3 daripada jumlah peruntukan kerusi Parlimen.


“Oleh itu, untuk mendapatkan kembali status rakan setara kita, apa yang boleh dilakukan sekarang ialah meningkatkan jumlah pewakilan rakyat Sabah dan Sarawak di Senat dari 9 hingga 24 anggota, iaitu sebanyak 15 Senator tambahan dari Sabah dan Sarawak perlu dilantik,” katanya.


Sehubungan itu, Yayasan WISDOM mendesak Kerajaan Persekutuan untuk melakukan reformasi Parlimen untuk memastikan Parlimen memberikan sumbangan yang berkesan demi pembangunan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page