Reformasi pendidikan perlu sokongan semua pihak – PM
- nabalunews
- Oct 4
- 1 min read

4 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Reformasi pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian sebaliknya perlu merangkul kekuatan semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, perkara itu ditegaskan beliau kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara (MPN) pada Jumaat.
“Reformasi pendidikan mesti menghubungkan inovasi, sosial, kecerdasan buatn (AI), agama dan nilai kemasyarakatan agar pendidikan benar-benar memerdekakan jiwa, membina identiti serta membentuk pemikiran bangsa.
“Cabaran kita ialah menggapai langit dalam pendigitalan dan AI, sambil mengakar ke bumi dengan nilai, budaya dan agama yang membentuk kerangka pemikiran bangsa. Inilah keseimbangan yang mesti kita pelihara,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan hala tuju besar pendidikan termasuk Terma Rujukan MPN, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 serta Semakan Semula Mata Pelajaran Umum (MPU).
Selain itu, katanya, isu-isu mendesak seperti pelaksanaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain kedudukan sekolah agama dan pondok turut dibincangkan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri juga menggesa supaya sinergi antara universiti dan Akademi Sains Malaysia (ASM) diperkukuh demi membina masa depan pendidikan yang berdaya saing serta berakar pada jati diri bangsa.


















Comments