top of page

REMAJA DI BAWAH INSTITUSI JKM DIBERI PELUANG AMBIL LATIHAN KEMAHIRAN

  • nabalunews
  • Nov 20, 2020
  • 2 min read

20 NOV 2020


PUTRAJAYA: Hampir 2,000 remaja kurang bernasib baik daripada 36 institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berpeluang mengikuti latihan kemahiran yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata buat permulaan, program julung kali itu akan memberi tumpuan kepada 649 remaja berusia 17 dan 18 tahun.

Beliau berkata program hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Mara itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran remaja berkenaan dan mengelakkan pengangguran selepas mereka keluar daripada institusi JKM. "Mereka ini ada yang sebatang kara, ada yang sudah duduk lama dengan institusi JKM, jadi apabila mereka hendak berhadapan dengan masyarakat di luar dan mengharungi alam sebenar kehidupan, mereka perlu diberi kemahiran dan persediaan dari segi fizikal dan mental.

Kita tidak mahu membiarkan mereka ini, apabila keluar daripada institusi kita, mereka terlibat dengan gejala negatif," katanya selepas menyampaikan surat tawaran pengajian kepada 14 remaja daripada institusi JKM, di sini hari ini.

Lapan daripada remaja itu adalah dari Sekolah Tunas Bakti (Perempuan) Sungai Lereh, Melaka; Rumah Budak Laki-laki Tun Abd Aziz, Melaka (dua); Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (dua); dan Asrama Akhlak (Perempuan) Bahagia, Kuala Lumpur (dua). Rina berkata remaja berkenaan diberi peluang untuk memilih bidang kemahiran yang mereka minati, selain melalui ujian dan penilaian yang dijalankan pihak Mara.

"Antara bidang-bidang yang kita bincangkan ialah masakan dan elektronik, ada juga yang hendak jadi tukang gunting rambut dan di bawah Mara ada juga program-program keusahawanan," katanya.

Selain bidang kemahiran, Rina berkata mereka daripada institusi JKM yang cemerlang dalam bidang akademik pula akan diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajaran di institusi-insitusi pengajian tinggi Mara.

"Bila sahaja tamat di institusi kita, maka mereka ini sudah ada sekurang-kurangnya sijil kemahiran dan kita juga akan usahakan supaya mereka juga mendapat pekerjaan," katanya. - Bernama



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page