top of page

Remaja dilaporkan hilang serah diri di balai polis

  • nabalunews
  • Aug 10, 2024
  • 1 min read

10 Ogos 2024


PENAMPANG : Seorang lagi remaja yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Buit Hill, Putatan sejak 1 Ogos lalu akhirnya menyerah diri di Balai Polis Penampang hari ini.


Rezlo Mic Fadden, 15, hadir di balai polis terbabit pada jam 12 tengah hari selepas berita kehilangan dia dan sepupunya, Nicholas Chee Ping, 13, dihebahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kedua-dua remaja tersebut telah ditemui semula apabila masing-masing kembali ke rumah keluarga di Putatan dan hadir ke Balai Polis Penampang.


"Siasatan mendapati, remaja tersebut keluar dari rumah dan berada di rumah rakannya selama ini.


"Remaja itu dikatakan berjalan-jalan di rumah rakan-rakannya sejak 1 Ogos lalu sebelum kehilangan mereka dilaporkan oleh ahli keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.


Sammy berkata, remaja terbabit datang menyerah diri selepas ahli keluarga rakannya memaklumkan mengenai hebahan kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.


Susulan penemuan remaja tersebut, Sammy turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga sentiasa mengawasi gerak geri dan pergaulan di bawah jagaa anak masing-masing.


"Ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.


Dalam perkembangan lain, Sammy berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman suara berdurasi 32 saat mengenai kehilangan kanak-kanak tular di media sosial.


"Saya menegaskan bahawa kes kanak-kanak hilang bersabit laporan Putatan adalah tiada kaitan sama sekali dengan rakaman suara yang tular itu.


"Orang ramai diminta tidak memuat naik atau menyebarkan maklumat tidak sahih di mana-mana platform atau aplikasi media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat," katanya.


Sebelum ini media melaporkan dua remaja yang juga bersepupu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar dari rumah di Buit Hill Putatan pada 1 Ogos lalu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page