Remaja Ditahan Untuk Siasatan Mengikut Akta Imigresen
nabalunews
Mar 16
1 min read

16 Mac 2026
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menahan seorang remaja dalam operasi cegah jenayah yang dilaksanakan di pusat beli belah One Borneo Mall, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, remaja berusia 19 tahun terbabit ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, remaja terbabit ditahan sepasukan anggota Taskforce yang melaksanakan operasi berikutan peningkatan kes kecurian.
Katanya, semasa operasi dijalankan, pihak polis menahan seorang lelaki selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Syed Lot berkata, susulan kejadian itu, pihaknya juga mengesan satu rakaman video berkaitan tangkapan berkenaan telah tular di laman media sosial Facebook.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek.
“Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi-lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.















Comments