Remaja Lemas Di Pantai Simpang Mengayau
- nabalunews
- Aug 31
- 1 min read

31 Ogos 2025
KUDAT: Aktiviti berkelah sempena Hari Kebangsaan, di Pantai Simpang Mengayau, di sini, berakhir tragedi apabila seorang remaja dilaporkan meninggal dunia akibat lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Velden Sinclir Chong, 15, dipercayai hilang di pantai berkenaan sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, cubaan pasukan penyelamat memberikan bantuan pernafasan gagal dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubumg kejadian berkenaan pada jam 12.28 tengah hari.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mangsa remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda bersama keluarga dan operasi pencarian terus dilaksanakan.
“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 1 petang, kira-kira 100 meter dari tepi pantai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terus diberikan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.43 petang oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang,” katanya.


















Comments