Remaja maut tersepit dalam kenderaan remuk
- nabalunews
- Jun 28
- 1 min read

27 Jun 2025
KENINGAU: Seorang remaja maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Batu 11, Jalan Keningau – Sook, di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 18 tahun itu dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.27 malam.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori dan Perodua Alza. Terdapat seorang mangsa tersepiy di dalam kenderaan iaitu pemandu Perodua Alza dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba terus melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan hydraulic power unit ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahka meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala katanya, pemandu lori terlibat selamat tanpa sebarang kecederaan dan dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.18 malam,” katanya.


















Comments