RENTAS DAERAH HANYA UNTUK URUSAN PENTING: MASIDI
- Wartawan Nabalu News
- Jan 25, 2021
- 1 min read

25 Jan 2021
Oleh Anne Sham
KOTA KINABALU: Kerajaan menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mematuhi arahan merentas daerah untuk urusan perlu sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, orang ramai dilarang membuat permohonan rentas daerah tanpa arah tujuan sebenar.
“Walaupun beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, namun ia bukanlah pendorong kepada pergerakan bebas untuk orang awam berulang kali keluar rumah.
“Individu perlu ada integriti tinggi dan bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan PKP benar-benar dipatuhi untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, dalam tempoh 24 jam, sebanyak 63 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksana di seluruh Sabah melibatkan pemeriksaan 35,158 buah kenderaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 101 buah kenderaan diarah berpatah balik.
“Tiada tangkapan dibuat namun, 62 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP Covid-19.
“PDRM juga telah melaksanakan 76 hebahan melalui kereta peronda,” katanya.
Katanya lagi, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 25 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 10 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.















Comments