RM1 juta disalurkan ke Tabung KASIH Rahmah Wanita
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM1 juta disalurkan ke Tabung KASIH Rahmah Wanita



Anwar bersama lima penerima Anugerah Kasih pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda pada Rabu.

9 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1 juta peruntukan permulaan bagi Tabung KASIH Rahmah Wanita telah diluluskan untuk membantu golongan wanita yang dalam keadaan terdesak seperti mangsa keganasan rumah tangga dan wanita diabaikan keluarga.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan itu sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, di sini, pada Rabu.


Menurutnya, peruntukan tersebut adalah satu usaha untuk memberikan bantuan segera kepada golongan wanita.


"Di bawah cadangan kementerian, Tabung Kasih Rahmah Wanita ini termasuk beberapa isu tertentu khusus yang mendesak yang tidak masuk dalam KASIH (tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023).


“Kementerian mohon supaya kita sediakan wang peruntukan kecil permulaan supaya dapat diberikan bantuan segera. Saya luluskan RM1 juta untuk tujuan tersebut," katanya dalam ucapan tersebut.


Anwar berharap pelaksanaan Tabung Kasih Rahmah Wanita ini dapat menggalakkan lebih banyak pihak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan sekaligus lebih banyak program pemerkasaan wanita dapat ditambah baik.


Dalam majlis tersebut turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Selain Tabung Kasih Rahmah Wanita, Anwar juga bersetuju memberikan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 kepada Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Peruntukan tersebut adalah bagi membolehkan usaha penyelidikan dilakukan bagi memperkasa golongan wanita di Malaysia.


"Selainnya, ada juga tanggungjawab korporat sosial (CSR) dan advokasi antigangguan seksual itu dibentangkan (di Parlimen). Saya percaya rakan-rakan Ahli Parlimen akan berikan perhatian," ujarnya.

bottom of page