top of page
nabalunews

RM100 juta hasil jualan minyak mentah terbaru Sabah


13 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Sabah baru-baru ini memperoleh RM100 juta hasil daripada penjualan kargo minyak mentah keenam melalui Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT).


Menurut kenyataan SMJ Energy (SMJE), pendapatan tersebut dihasilkan daripada penjualan sekitar 300,000 tong minyak mentah, yang mewakili 50 peratus kepentingan SMJE dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Semarang.


Kepentingan tersebut telah diperoleh oleh SMJE pada Mei 2023, dan pengeluaran minyak mentah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Sabah untuk meningkatkan hasil negeri melalui penglibatan dalam industri petroleum.


Sehingga kini, Sabah menjual enam kargo minyak mentah yang keseluruhannya menjana hampir RM800 juta pendapatan hasil jualan terkumpul.


“Transaksi ini dijangka menyediakan hasil yang kekal hingga 12 tahun akan datang, sekali gus mengukuhkan ekonomi negeri secara signifikan.


“Kerajaan negeri akan terus menerima manfaat daripada pembabitannya dalam sektor minyak dan gas di Sabah menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang ditandatangani pada 7 Disember 2021,” kata kenyataan itu, menurut laporan Info X.


SMJE berkata, CCA dengan PETRONAS memberi Sabah perkongsian hasil, suara dan penyertaan yang lebih baik dalam rantaian nilai minyak dan gas di Sabah.


Peningkatan ini juga menunjukkan potensi Sabah dalam industri minyak dan gas, sekali gus memberikan sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri.

Comments


bottom of page