top of page

RM15 Bilion Bantu 10,000 PMKS Tingkat Skala Perniagaan

nabalunews
6 days ago
3 min read

15 Oktober 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan inisiatif PowerUp 10k dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM15 bilion bagi membantu 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan skala perniagaan serta daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.


Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, agenda peningkatan skala PMKS merupakan antara keutamaan kementerian dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.


Beliau berkata, kerajaan terus memperhebatkan usaha pembangunan PMKS menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk sokongan pembiayaan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan serta penerapan teknologi digital.


Katanya, komitmen itu turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2027 yang menyediakan sokongan menyeluruh berjumlah RM67.9 bilion bagi memperkasa sektor PMKS, sekali gus menjadikan tahun 2027 sebagai Tahun PMKS Malaysia.


“Antara tumpuan utama ialah penyediaan jaminan pembiayaan berjumlah RM32 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), selain RM1.06 bilion khusus bagi membantu pengembangan perniagaan ke pasaran antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP, di sini, hari ini.


Steven berkata, Belanjawan 2027 turut menyediakan RM3.3 bilion bagi menggalakkan peningkatan kemahiran tenaga kerja, manakala RM223 juta diperuntukkan untuk mempercepat penerapan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi perniagaan.


Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan PMKS tempatan mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh keupayaan operasi dan bersaing dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia merangkap Pengerusi Penganjuran Program E50, Rizal Dato’ Nainy berkata, sebanyak 66 program pembangunan berfokuskan akses pasaran telah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM293.98 juta.


Beliau berkata, program berkenaan termasuk inisiatif PKS@kses di bawah SME Corp. Malaysia yang menyediakan sokongan pembiayaan dan pembangunan kapasiti kepada usahawan.


“Pada tahun ini, sebanyak 66 program pembangunan yang memberikan tumpuan kepada akses pasaran telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM293.98 juta, termasuk PKS@kses di bawah SME Corp. Malaysia.


“Inisiatif ini menyediakan sokongan pembiayaan dan pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan keupayaan PKS, membolehkan mereka meluaskan jangkauan pasaran, meningkatkan kesediaan eksport dan memperoleh akses yang lebih luas kepada pasaran domestik dan eksport,” katanya.


Pada majlis itu, Steven turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, Lazada Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).


Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan PMKS melalui jaringan strategik dengan rakan industri dan organisasi antarabangsa.


Dalam perkembangan berkaitan, SME Corp. Malaysia turut memberi penekanan terhadap pendigitalan dan penggunaan AI sebagai pemangkin peningkatan skala perniagaan.


Pada 14 Oktober lalu, agensi itu menganjurkan Seminar Peningkatan Skala Digital dan AI untuk PKS di bawah Program PRESTIGE 2.0: Global Value Chain (GVC) bertemakan Tech Up, Scale Up.


Seminar berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 300 PKS, khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (High Growth, High Value – HGHV), bagi meningkatkan keupayaan perniagaan melalui pendigitalan, automasi dan penggunaan teknologi.


Sementara itu, Persidangan Eksport E50 yang dianjurkan buat julung kalinya sempena Program Anugerah E50 tahun ini menghimpunkan hampir 300 peserta daripada syarikat PKS, termasuk calon Anugerah E50 dan alumni program berkenaan.


Persidangan itu bertujuan memberi pendedahan mengenai trend pasaran antarabangsa, peraturan perdagangan, kesediaan eksport serta peluang memperluas jaringan perniagaan ke pasaran global.


Antara penceramah yang terlibat ialah bekas Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, selain wakil Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


Persidangan berkenaan juga merupakan antara pengisian utama menjelang Majlis Anugerah E50 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober bagi mengiktiraf kecemerlangan syarikat PKS di Malaysia.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Rizal Dato’ Nainy; Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria dan Timbalan Pengerusi EDC Uzbekistan, Zarif Kholmurodov.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page