top of page

RM15 juta untuk Program SME-UP, perkasa usahawan IKS: Ewon

  • nabalunews
  • Dec 17, 2025
  • 2 min read

17 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi meneruskan Program Bantuan SME-UP pada tahun 2026 bagi membantu memperkasa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata peruntukan itu membolehkan kementeriannya menambah baik keberkesanan program berkenaan melalui penilaian teknikal yang lebih teliti, pembangunan kapasiti usahawan serta pemantauan impak secara menyeluruh.


Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan mesin dan peralatan yang disalurkan mampu meningkatkan produktiviti IKS secara signifikan.


“Bagi tahun 2026, kementerian juga akan meneruskan kerjasama dengan Pasaraya Bataras dan Petronas Dagangan Berhad.


“Sehingga November 2025, kolaborasi ini telah merekodkan jualan sebanyak RM885,000 melalui Pasaraya Bataras dan RM2.91 juta melalui Petronas Dagangan Berhad,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri 2026 bagi Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.


Ewon berkata, berdasarkan pencapaian memberangsangkan itu, kementeriannya bercadang untuk memperluaskan kerjasama dengan Pasaraya Aeon bagi membuka akses pasaran yang lebih luas ke Semenanjung Malaysia.


Katanya, pembangunan keusahawanan akan terus menjadi antara teras utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri, dengan sektor IKS kekal sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan.


“Kementerian akan meneruskan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah pada tahun 2026 menerusi penganjuran Karnival Usahawan PMKS di beberapa daerah.


“Inisiatif ini bertujuan meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan hasil jualan, menjalankan padanan perniagaan bersama pasar raya tempatan serta memperkenalkan produk usahawan IKS kepada masyarakat di dalam dan luar Sabah,” katanya.


Menurutnya, pencapaian padanan perniagaan bersama pasar raya tempatan pada tahun 2025 merekodkan nilai sebanyak RM2.9 juta, selain RM92,500 hasil jualan kaunter.


Katanya lagi, penyertaan Kerajaan Negeri dalam ekspo antarabangsa terus memberi impak positif kepada usahawan IKS Sabah.


Ewon berkata, sepanjang tahun 2025, sebanyak 18 ekspo antarabangsa disertai melibatkan 115 usahawan, sekali gus merekodkan potensi jualan berjumlah RM95.9 juta.


“Pencapaian ini bukan sahaja melepasi sasaran RM70 juta, malah mengatasi prestasi tahun 2024 yang mencatatkan RM60.3 juta,” katanya.


Selain itu, beliau berkata kementerian akan meneruskan Program Fulfilment Services melalui kerjasama strategik bersama Pos Malaysia Berhad.


“Seramai 30 usahawan IKS Sabah akan dipilih menyertai program ini bagi menyediakan pengurusan penghantaran yang lebih efisien, kos logistik yang kompetitif serta akses kepada rangkaian pusat penghantaran Pos Malaysia di Semenanjung Malaysia,” katanya.


Bagi memperkukuh pembangunan insan, Ewon berkata beberapa kursus dan program peningkatan kapasiti telah dirancang pada tahun 2026, meliputi aspek pengeluaran, pemasaran, pensijilan dan kualiti produk.


Antaranya ialah Kursus Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), kursus peningkatan kualiti produk melalui teknologi retort, kursus pematuhan pensijilan Halal serta kursus pengiraan kos.


Beliau menambah, transformasi digital turut menjadi agenda utama melalui pembangunan sistem pangkalan data usahawan dan platform pemantauan program yang lebih efisien.


“Pendekatan ini akan menyokong analisis dasar yang lebih tepat, mengoptimumkan koordinasi antara agensi serta mengelakkan pertindihan program bagi memastikan pelaksanaan pembangunan industri yang lebih holistik,” katanya.


Secara keseluruhan, katanya, Way Forward 2026 pembangunan keusahawanan menetapkan hala tuju yang jelas untuk kementerian dan agensi di bawahnya dalam mempertingkat penyampaian perkhidmatan, memacu pertumbuhan industri tempatan serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Sabah secara berterusan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page