top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM170 bilion pelaburan China dicapai melalui kerjasama rentas kementerian - Anwar


3 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap lawatan rasminya ke China baru-baru ini sebagai satu kejayaan luar biasa yang dicapai melalui kerjasama berpasukan dan rentas kementerian.


Beliau berkata, penjawat awam telah berusaha keras untuk menyusun acara yang melibatkan kira-kira 50 syarikat gergasi China bernilai berpuluh bilion dolar sebelum pertemuan itu berlangsung.


“Ini bukan hasil usaha Kementerian Luar sahaja, tetapi semua kementerian terlibat telah berbincang dan menemui mereka sebelum pertemuan itu,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.


Lawatan rasmi Anwar ke China itu telah membawa pulang komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM170 bilion daripada pelabur China, selepas 19 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China.


Anwar juga menegaskan bahawa kaedah cekap dan bersih perlu diamalkan dalam setiap urusan kerajaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.


Beliau mengakui bahawa masih ada pihak yang meminta komisen ketika berurusan dengan kerajaan.


“Budaya lama ini memerlukan masa untuk dibersihkan, jadi saya minta kerjasama saudara kerana apabila imej kita baik, ia akan memudahkan kita,” katanya.


Anwar yakin bahawa jika tadbir urus, tatakelola dan imej negara dapat dipertahankan, masa depan negara akan lebih cerah.


bottom of page