RM32.31 juta perkukuh pendigitalan Sabah, pacu ekonomi inklusif
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

7 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mempergiat agenda pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri, termasuk memperluas capaian di luar bandar, memperkukuh keupayaan digital serta merancakkan pembangunan ekonomi digital yang inklusif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bagi tujuan itu sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM9.59 juta disalurkan untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), merangkumi pembekalan komputer serta rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, peningkatan keselamatan siber dan pembangunan sistem aplikasi kerajaan.
“Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), terus menjadikan pendigitalan sebagai teras utama pertumbuhan.
“Fokus diberikan kepada peluasan capaian digital di luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif, sejajar komitmen meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, peranan kesalinghubungan digital kini menjadi tunjang utama dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi serta membuka ruang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor.
Sehubungan itu, katanya, pengukuhan infrastruktur digital menjadi antara faktor kritikal dalam memastikan kejayaan dan kemajuan Sabah, termasuk dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“SMJ 2.0 adalah pelan strategik utama yang dirangka untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.
“Ia merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan pasca pandemik COVID-19, dan kini diperluas bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, termasuk dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks itu, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd amat penting bagi merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.
Katanya, pembaharuan identiti korporat syarikat itu mencerminkan kesiapsiagaan untuk melangkah ke hadapan sebagai penyedia infrastruktur dan rakan strategik dalam membentuk masa depan digital Sabah.
Hajiji berkata, sehingga kini Celcom Timur Sabah telah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada hubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri, khususnya sektor telekomunikasi.
“Rangkaian ini membolehkan perkhidmatan digital dinikmati secara lebih meluas, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.
“Peranan ini menjadikan Celcom Timur Sabah bukan sekadar penyedia infrastruktur, tetapi juga pemudah cara kepada pembangunan digital inklusif serta antara pemacu utama daya saing negeri dalam era digital,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan syarikat itu turut terserlah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif nasional seperti JENDELA, Point of Presence (POP2) dan rangkaian 5G, dengan Celcom Timur Sabah bertindak sebagai penyedia utama rangkaian gentian optik di negeri ini.















Comments