RM500 ribu dana Kumpulan Wang Amanah Koperasi akan disalurkan untuk biasiswa pelajar B40 mulai tahun ini: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM500 ribu dana Kumpulan Wang Amanah Koperasi akan disalurkan untuk biasiswa pelajar B40 mulai tahun ini: Ewon

28 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM500,000 dana daripada Kumpulan Wang Amanah Koperasi akan disalurkan kepada Angkasa untuk biasiswa pendidikan pelajar B40 mulai tahun ini.


Beliau berkata, ia bertujuan untuk membantu para pelajar terutamanya kalangan B40 yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.


“Sebagai komitmen kerajaan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita telah bersetuju untuk menyalurkan sebanyak RM500,000 daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi kepada Angkasa untuk digunakan membantu para pelajar terutamanya golongan B40 yang melanjutkan pengajian di universiti atau kolej, bermula tahun ini.


“Kita juga merancang agar Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menjadi pilihan untuk dibantu melalui dana ini.


“Bukan sahaja untuk tujuan pembiayaan yuran pengajian tetapi keperluan dan kelengkapan lain yang diperlukan oleh mahahiswa, contohnya pembelian laptop,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Dokumen Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, di Auditorium Wisma Ungku Aziz, di sini, hari ini.


Turut hadir Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Yayasan Angkasa Datuk Seri Dr.Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.


Ewon berharap melalui dana itu akan dapat membantu lebih ramai pelajar selaras dengan hasrat kerajaan mengutamakan pendidikan.


“Saya juga berharap agar ia dapat menggalakkan rakyat negara ini terus menyertai gerakan koperasi kerana salah satu syarat untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan daripada Yayasan Angkasa ialah, anak itu atau pelajar berkenaan harus menjadi anggota koperasi atau ibu bapa mereka adalah anggota kepada mana-mana koperasi,” katanya.


Pada majls itu seramai 193 pelajar instituti pengajian tinggi menerima pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa melibatkan pembiayaan sejumlah RM2.438 juta.


Daripada jumlah keseluruhan pelajar berkenaan, 156 pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda, 37 pelajar separuh masa yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

bottom of page