top of page

RM7.5 juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu - Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • 7 hours ago
  • 2 min read

22 Jun 2025


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM7.5Juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di Sabah sejak Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) diperkenalkan pada tahun 2023.


Beliau berkata, skim itu adalah khusus untuk golongan usahawan mikro khususnya penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar-pasar dan tamu-tamu seluruh Sabah.


“Ini jelas menunjukkan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong, di perkarangan tamu itu, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sejak TEKUN Nasional ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga April 2025, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.31 bilion kepada 598,969 usahawan.


“Sehingga 30 April 2025, sebanyak RM1.18 billion telah disalurkan kepada 65,939 usahawan TEKUN di seluruh Sabah.


“Bagi kawasan parlimen Penampang, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak RM36 juta kepada 1,730 usahawan dalam tempoh yang sama,” katanya.


Katanya lagi, pada tahun ini sahaja sehingga April 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 36 usahawan bernilai RM634 ribu di Penampang.


“Sebanyak 1,663 pembiayaan berjumlah RM29.9 juta telah diluluskan di seluruh negeri Sabah bagi tempoh yang sama.

“Pembiayaan yang diberikan oleh TEKUN ini bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan usahawan malah secara tidak langsung ia mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar,” katanya.


Mengenai kejayaan promosi dan pembangunan keusahawanan melalui Karnival Tekun MADANI, Ewon berkata, lima siri Karnival TEKUN Madani telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu di Sabah, Selangor dan Pulau pinang.


“Karnival ini bukan sahaja menjadi platform promosi dan pemasaran bagi usahawan tempatan, malah turut menjadi bukti keberkesanan sokongan berterusan daripada TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi usahawan mikro dan PMKS.


“Lebih membanggakan, keseluruhan siri Karnival TEKUN Madani 2024 telah berjaya menjana jualan bernilai RM5.8 juta, hasil daripada penglibatan aktif para usahawan yang berdedikasi dan inovatif,” katanya.


Beliau berkata, kejayaan itu turut disumbang dengan kerjasama erat rakan strategik TEKUN Nasional iaitu TikTok Shop Malaysia, yang telah memainkan peranan penting membuka ruang pemasaran digital yang lebih luas kepada para usahawan.


“Pada tahun ini, Karnival TEKUN Madani Kota Belud sempena Pesta Kaamatan 2025 baru-baru ini diadakan di Dewan Kadamaian Square, Taginambur merupakan karnival pertama bagi tahun 2025, yang diadakan selama 3 hari iaitu pada 15 sehingga 17 Mei 2025.


“Saya amat berbangga untuk memaklumkan bahawa jualan karnival yang melibatkan pembukaan booth sebanyak 142 orang usahawan telah mencapai jualan berjumlah RM152 ribu,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page