RM7.68 juta potensi pembiayaan, lebih RM660,000 jualan dicatat sempena HPPK 2023

12 Disember 2023
PENAMPANG: Sejumlah RM7.68 juta potensi pembiayaan dan RM667,067.94 rekod jualan dicatatkan menerusi Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (HPPK2023) yang berlangsung pada 7 hingga 9 Disember 2023 di Buhavan Square, di sini.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), karnival yang julung kalinya dianjurkan di Sabah itu turut merekodkan seramai 25,561 orang pengunjung.
Karnival HPPK 2023 anjuran KUSKOP itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember.
Menerusi penganjuran ini, sebanyak 304 penjaja dan peniaga kecil dari pelbagai daerah di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia seperti W.P. Kuala Lumpur dan Perak.
Selain itu, lebih 100 peniaga tamu sedia ada di sekitar kawasan Donggongon turut menyertai karnival itu. Mereka menjual pelbagai jenis produk termasuk kraftangan, makanan dan pakaian tradisional.
Sebanyak 11 peniaga food truck dari Sabah dan Sarawak juga tidak melepaskan peluang mempromosikan perniagaan mereka sempena Karnival HPPK 2023.
Karnival ini turut mempromosikan makanan dari 14 buah negeri di Malaysia menerusi slot Anekarasa MADANI.
Pelbagai acara berjaya menarik pengunjung ke Karnival ini seperti Pertandingan Karaoke Suara Kita, Pertandingan Mewarna, Demonstrasi Masakan, Cabutan Bertuah, Jualan MADANI Koperasi, Jualan Rahmah KPDN, Jualan Agro-FAMA dan pameran-pameran dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Comments