RM70 juta untuk sekolah Cina, mubaligh dan rumah agama bukan Islam tahun ini
- nabalunews
- Jan 26
- 2 min read

25 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70 juta kepada sekolah Cina dan mubaligh serta rumah ibadat bukan Islam, tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukkan tertinggi itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri memenuhi keperluan setiap golongan rakyat di negeri ini.
“Komitmen yang ditunjukkan pihak kerajaan untuk menyokong semua rakyat tidak boleh diragui,” katanya pada majlis perasmian Karnival Tahun Baharu Cina di Padang Merdeka di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Zin Jhee; Mayor Bandaraya Kota Kinabalau, Dato Sri Dr. Sabin Samitah, Presidennya FCAS Tan Sri T. C. Goh dan Timbalan Presiden FCAS, Datuk Susan Wong Siew Guen
Hajiji berkata, Karnival Tahun Baharu Cina bukan saja dihadiri oleh kaum Cina tetapi juga oleh masyarakat berlainan kaum dan kepercayaan di Sabah.
“Kita meraikan perayaan bersama-sama yang banyak menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Beliau juga menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang mampu menggugat perpaduan di negeri ini.
Hajiji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat Cina di Sabah kerana menyokong kerajaan negeri dalam memastikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat berjalan dengan lancar.
“Adalah penting untuk kita semua terus bersatu dan melindungi keamanan, keharmonian serta kestabilan politik kita bagi memastikan kemajuan dan pembangunan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, pertumbuhan dan ekonomi negeri akan terhalang tanpa kestabilan politik.
Beliau menyifatkan pencapaian kerajaan negeri tahun lalu berjaya mencatat hasil kutipan hampir RM7 bilion dan menarik RM1.7 bilion pelaburan domestik dan asing terhadap kestabilan politik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah dengan sokongan berterusan dan kepercayaan mereka kepada Kerajaan GRS-PH untuk memimpin negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) kerana bekerjasama menjayakan karnival berkenaan.
Comments