RMK-12: KKMM pastikan tiada komuniti ketinggalan dalam pendigitalan negaraRMK-12: KKMM pastikan tiada komuniti ketinggalan dalam pendigitalan negara
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RMK-12: KKMM pastikan tiada komuniti ketinggalan dalam pendigitalan negara


28 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan bekerjasama dengan semua pemegang taruh pelbagai industri untuk memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam pendigitalan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).


Menteri KKMM Datuk Seri Annuar Musa berkata akses kepada internet sebagai hak asasi manusia akan menjadi pemicu utama bagi kementeriannya untuk memastikan tiada komuniti yang ketinggalan.


"KKMM komited di bawah RMKe-12 untuk member tumpuan bagi mempertingkat ketersambungan digital dan memperhebat ekonomi digital serta member nilai tambah dan manfaat kepada Keluarga Malaysia"


"Ini selari dengan objektif RMKe-12, 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif dan Mampan' yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September di dalam pemerkasaan Keluarga Malaysia ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


"Antara strategi pemerkasaan adalah mewujudkan persekitaran yang menyokong kepada pertumbuhan ekonomi digital seperti penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital, membangunkan bakat digital masa hadapan, memperluas pendigitalan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, KKMM mengetuai Kluster Infrastruktur Digital dan Data, iaitu salah satu daripada enam kluster yang dibentuk di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar 4IR Negara bagi mempercepatkan ekosistem pembangunan ekonomi digital dan 4IR negara.


Katanya lagi, kementerianya juga akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendigitalan yang dinyatakan di bawah Kluster Infrastruktur Digital dan Data ini dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan sehingga 2025 atau dipercepatkan lagi daripada sasaran ditetapkan.


"Saya telah juga berjumpa dengan pelbagai pemegang taruh di dalam industri telekomunikasi termasuk daripada pihak swasta untuk memastikan inisiatif pendigitalan di bawah RMKe-12 menggunakan satu pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach).


"Menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G sehingga bulan Ogos 2021, manakala rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.


"Selari dengan pencapaian in, JENDELA menyasarkan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025," jelasnya.


Beliau berkata inisiatif pendigitalan ini juga bakal menyokong sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.


Ujarnya, bagi memastikan peluang ekonomi digital rakyat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi, pembangunan ekonomi digital akan dibangunkan bersama di pelbagai titik sentuh seperti Pusat Internet Komuniti yang akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia seluruh negara.


"Selain itu, KKMM juga akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan ekosistem industri kreatif sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," tambahnya.


Annuar mendedahkan, industri kreatif bakal menyasarkan sumbangan kepada KDNK sebanyak RM31.9 bilion menjelang tahun 2025.


"Saya yakin matlamat RMKe-12 in akan dapat direalisasikan dengan usaha sama semua pihak dan Insya-Allah Keluarga Malaysia akan terus cekal mendepani cabaran serta mampu melakar kecemerlangan untuk masa hadapan negara," katanya

bottom of page