RMK12: Sabah, Sarawak terima sehingga 18 peratus setahun untuk pembangunan asasRMK12: Sabah, Sarawak terima sehingga 18 peratus setahun untuk pembangunan asas
top of page
  • nabalunews

RMK12: Sabah, Sarawak terima sehingga 18 peratus setahun untuk pembangunan asas


27 Sept 2021


KUALA LUMPUR: Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima antara 15 peratus hingga 18 peratus setahun daripada jumlah peruntukan pembangunan asas.


Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, peratusan yang lebih tinggi daripada peruntukan itu akan diagih kepada sektor ekonomi di kedua-dua negeri yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak.


Selain itu, sepanjang tempoh 2021-2025, lima bangunan Mahkamah Anak Negeri akan dibina di Sabah, sementara 10 Mahkamah Bumiputera di Sarawak bakal dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada komuniti.


"Kerajaan juga menetapkan sasaran untuk melaksanakan pemetaan tanah adat seluas 65,000 hektar di Sabah dan 397,000 di Sarawak sepanjang lima tahun RMK12," demikian menurut dokumen itu yang dikeluarkan hari ini.


Turut diberi perhatian adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) yang proses penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik di bawah perjanjian tersebut akan diteruskan dalam RMK12 dengan pindaan terhadap beberapa klausa perundangan selain mewujudkan badan kawal selia.


Sementara itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan merangkumi pelbagai agensi utama Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab dalam perancangan wilayah, penyelarasan serta penilaian seterusnya merapatkan jurang pembangunan di seluruh wilayah dan negeri.


Dalam RMK12, sebanyak tujuh projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dijenamakan sebagai Rumah Malaysia di Sabah dan Sarawak melibatkan 3,202 rumah kos rendah akan disiapkan untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik adalah mampan dalam jangka panjang.


"Selain itu, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina untuk kumpulan sasar di Sabah dan Sarawak termasuk 2,400 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad," demikian menurut dokumen itu.


Kerajaan juga akan menambah bilangan pos keselamatan di sepanjang sempadan antarabangsa Sabah dan Sarawak untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Menurut dokumen itu, pelan yang menyeluruh akan dilaksanakan untuk menguruskan pendatang tanpa izin merangkumi strategi penguatkuasaan yang komprehensif melibatkan agensi berkaitan, kerajaan negeri dan orang awam.


Berdasarkan potensi Leburaya Pan Borneo sebagai pemacu perubahan di Sabah dan Sarawak, hub pengumpulan yang bersepadu akan diwujudkan di sepanjang laluan itu bagi menambah naik kecekapan pengendalian kargo.


Selain itu, peraturan pendaftaran perniagaan akan dikaji semula dan diperbaharui untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan lagi pertumbuhan perniagaan di Sabah dan Sarawak.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page