ROGOL: KANAK-KANAK LAPAN TAHUN DIUMPAN GULA-GULA
- nabalunews
- Nov 28, 2020
- 1 min read

28 Nov 2020
KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lapan tahun dirogol lelaki tidak dikenali selepas diperdaya dengan gula-gula di Inanam di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku di sebuah pondok yang digunakan untuk penagihan dadah pada 25 November lalu.
“Kejadian awal mendapati mangsa berumur lapan tahun keluar dari rumah untuk ke rumah ibu saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Semasa dalam perjalanan balik, mangsa bertemu dengan seorang lelaki tidak dikenali (suspek) sebelum mangsa mengikuti suspek yang memberinya gula-gula ke sebuah pondok,” katanya.
Beliau berkata pondok terbabit terletak di dalam hutan iaitu pada kedudukan 300 meter dari rumahnya.
“Semasa dalam pondok itu, mangsa yang berasa takut ingin balik ke rumah bagaimanapun suspek menghalang mangsa dengan menunjukkan sebilah pisau menyebabkan mangsa hanya mampu menangis di dalam pondok berkenaan.
“Suspek kemudiannya mencium mulut mangsa sebelum membuka baju lalu merogol mangsa,” katanya.
Habibi berkata suspek juga bertindak memberikan wang sebanyak RM5 kepada mangsa bagi menghalang mangsa menceritakan kejadian kepada bapanya.
Katanya mangsa yang berjaya sampai ke rumah segera memberitahu kejadian kepada bapa mangsa sebelum laporan polis dibuat.
“Bertindak dengan kejadian, polis berjaya menahan suspek berumur 25 tahun di tepi jalan Tuaran Bypass, berhampiran Wisma YLY, Inanam kira-kira jam 1.30 petang 26 November.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa mengaku merogol mangsa di pondok yang dipercayai digunakan tempat penagihan dadah.
“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa juga menunjukkan ada kesan kemasukan serta koyakan baru dikemaluan mangsa selepas dirujuk kepada Doktor Pakar,” katanya.
Habibi berkata suspek yang positif syabu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - Utusan Borneo















Comments