ROMZIE BERKAYUH SECARA SOLO BANTU BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK SABAH
- Wartawan Nabalu News
- Jan 14, 2021
- 1 min read

14 JAN 2021
OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID
RANAU : Seorang peniaga mencetak dan menyulam baju disini berjaya menamatkan kayuhan secara solo sejauh lebih 100 kilometer ke Bandar Sierra Kota Kinabalu dalam misi Kayuhan Solo Amal pada awal bulan ini.
Romzie Muhamad,44, berkata kayuhan solo itu adalah untuk membantu mengumpul dana bagi kos perubatan bekas pemain bola sepak Sabah Bobby Chua.

Katanya, menerusi kayuhan solo itu, beliau berjaya mengumpul sebanyak lebih RM3,000 yang dikumpul hasil sumbangan beberapa buah syarikat dan orang perseorangan dalam tempoh dua minggu.
“Pada mulanya saya cuma merancang untuk melakukan kayuhan solo sekadar suka-suka ke Kiulu dari Ranau namun apabila mendengar berita mengenai kesihatan Bobby Chua yang memerlukan kos perubatan, saya terfikir untuk membantunya.
“Saya berbincang dengan isteri dan beberapa rakan lain, mereka turut bersetuju dan syukur dalam tempoh dua minggu sahaja kami berjaya mengumpul dana untuk disumbangkan kepada beliau,”katanya ketika dihubungi Nabalu News disini hari ini.
Beliau berkata, kayuhan yang bermula di Pekan Ranau pada 2 Januari lalu itu mengambil masa hampir enam jam 40 minit.

“Sememangnya kayuhan ini memang mencabar kerana kebanyakkan laluan yang dilalui adalah berbukit dan ada juga yang curam.
“Meskipun mencabar, saya betul-betul rasa lega dan gembira apabila dapat membantu bekas pemain bola sepak negeri kita untuk meringankan kos perubatannya,”katanya.
Terdahulu, bekas pemain bola sepak Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang pernah menggerunkan lawan ketika beraksi di padang pada era 1980an dan 1990an itu dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS).
Difahamkan, bekas pemain tengah berumur 52 tahun itu mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf.















Comments