top of page

Rowindy saran usahawan Sabah buat persediaan terbaik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

  • nabalunews
  • Oct 27, 2024
  • 2 min read

27 Oktober 2024


SEMPORNA: Usahawan Sabah perlu mempelbagaikan kemahiran dalam pengurusan perniagaan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan kemasukan 35.6 juta orang pelancong ke Malaysia.


Ahli Lembaga Pengarah Tekun Nasional Rowindy Lawrence berkata ini termasuklah melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan dan menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan terutamanya yang membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini.


"Usahawan Sabah juga perlu meluaskan rantaian perniagaan mereka, membina kekuatan kewangan dan nilai keusahawanan," katanya.


Rowindy berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutupan seminar asas keusahawanan TEKUN Nasional bagi tahun 2024, di Hotel Seafest, Semporna, hari ini.

Katanya sejak tahun 2010, TEKUN Nasional telah melaksanakan Seminar Asas Keusahawanan (SAK) dengan tujuan untuk mendedahkan usahawan mengenai ilmu keusahawanan yang menekankan aspek motivasi, pemasaran digital dan kewangan digital.


"Penyertaan usahawan TEKUN bagi SAK mendapat sambutan yang amat baik secara amnya. Berdasarkan rekod jumlah terkumpul, sebanyak 986 siri pelaksanaan SAK yang melibatkan 277,956 usahawan telah diadakan.


"Bagi tahun 2024, SAK diteruskan lagi bagi memberi manfaat kepada usahawan TEKUN dengan pelaksanaan 40 siri SAK dengan sasaran penyertaan sebanyak 18,000 usahawan.


"Ini merupakan satu inisiatif yang diharapkan dapat terus memperkasakan usahawan untuk menghadapi cabaran ekonomi digital," katanya.


Menurut Rowindy, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan seramai 35.6 juta pelancong akan mengunjungi Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Ini membuka peluang luas bagi usahawan tempatan untuk memanfaatkan sektor pelancongan yang berkembang pesat dan berkait rapat dengan Bajet 2025, yang memberikan fokus pada pelaburan dalam sektor pelancongan," katanya.


Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RM550 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan promosi pelancongan dan aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.


Ini termasuk penganjuran aktiviti kebudayaan, acara pelancongan, dan meningkatkan akses penerbangan ke Malaysia serta pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni, termasuk mempromosikan kraf tangan dan batik.


Selain itu, RM110 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan kawasan pelancongan, mewujudkan kerjasama ekopelancongan, dan menyokong pencalonan UNESCO, kata Anwar.


Sehubungan itu Rowindy berharap agar usahawan tempatan dapat menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran, membina rangkaian hubungan (networking), dan mengembangkan perniagaan mereka dalam ekonomi digital yang berkembang tanpa sempadan.


Menurutnya, usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak untuk memastikan kejayaan dan pencapaian matlamat kerajaan dalam memperkasakan ekonomi tempatan.


"Usaha ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan daripada anda semua. Saya berharap dengan sokongan dan kerjasama semua dapat merealisasikan segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page