ROZAIMI TIDAK SESUAI DENGAN SABAH FC: VERDONROZAIMI TIDAK SESUAI DENGAN SABAH FC: VERDON
top of page
  • nabalunews

ROZAIMI TIDAK SESUAI DENGAN SABAH FC: VERDON


7 DIS 2020


KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Datuk Verdon Bahanda terpaksa memadamkan keterujaannya mendapatkan khidmat Rozaimi Abd Rahman kerana tidak berkenan dengan sikap bekas pemain kebangsaan Sabah itu. Verdon berkata, Rozaimi ada bertemu dan berbincang dengannya pada 27 November dan pengurus pasukan Jelius Ating pada 29 November tetapi dalam kedua-dua pertemuan itu, tidak ada dibincangkan soal kontrak.

Oleh itu, tidak adil untuk mempersalahkan beliau atau pengurusan Sabah FC kerana tidak terus mengikat kontrak dengan Rozaimi.

Katanya, kenyataan-kenyataan yang dipaparkan pemain itu di media sosial sehingga kelmarin hanya menunjukkan beliau tidak sesuai bersama dengan Sabah FC.

Menurutnya, selepas pertemuan pada 27 dan 29 November, ramai pihak terutama penyokong menerusi respon terhadap kenyataan-kenyataan termasuk dalam bentuk lapor langsung Rozaimi di media sosial, mempersalahkan beliau dan pengurusan Sabah FC kerana tidak menawarkan kontrak. Verdon berkata, pertemuan pada 27 November adalah di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di mana turut bersama ialah beberapa Ahli Majlis Teringgi SAFA kerana ketika itu mereka ada mesyuarat.

"Saya cakap depan beliau dan semua yang hadir (AMT SAFA) ketika itu bahawa saya teruja untuk mendapatkan khidmat beliau. Walau bagaimanapun, kita mempunyai kekangan untuk menandatangani kontrak pada ketika itu disebabkan, pertama; saya masih dalam proses menyusun semula pengurusan dan jurulatih Sabah FC.

"Perkara kedua yang saya katakan kepada beliau, saya tidak tahu bila kita boleh memulakan latihan disebabkan oleh kita bergantung kepada arahan kerajaan untuk memberikan kita lampu hijau bila sepatutnya kita boleh memulakan latihan bersama-sama dengan pemain-pemain yang lain," kata Verdon dalam sidang media di pejabat SAFA di sini semalam.

Verdon juga telah menjelaskan bahawa beliau perlukan tempoh kira-kira dua minggu lagi atau sehingga pertengahan Disember sebelum membuat keputusan menandatangani pemain yang diperlukan selepas meneliti semua aspek termasuk dari segi kecergasan dan keadaan kecederaan pemain.

"Dalam perjumpaan tersebut tidak ada sebarang perkataan pun daripada Rozaimi mengatakan bahawa beliau perlu atau mahu menandatangani kontrak secepat mungkin. Beliau hanya mendiamkan diri di hadapan semua orang.

"Saya kata dengan beliau, seharusnya, jika perlukan apa-apa, datang berjumpa dengan saya secara peribadi dan juga berbincang dengan saya. Jadi saya mengharapkan kerjasama daripada beliau," katanya.

Verdon berkata, beliau juga tidak pernah menjemput Rozaimi balik ke Sabah sebaliknya ia adalah keinginan pemain itu sendiri.

"Saya cuma berkata dengan beliau yang kalau mahu balik ke Sabah, Sabah FC ini membuka pintu yang luas untuk membuat rundingan ataupun perkara-perkara yang sepatutnya kita lakukan.

"Pagi tadi, beberapa kawan menghantar lagi `posting' seolah-olah Rozaimi menuduh Sabah FC ini sebagai penipu. Ingin saya katakan, kita tidak pernah menipu dalam perkara ini.

"Kita juga telah memberikan komitmen kita untuk memberikan peluang kepada beliau untuk berkhidmat tetapi malangnya dengan sikap yang begitu maka saya rasa beliau tidak sesuai untuk berada di dalam pasukan Sabah FC pada musim hadapan," kata Verdon.

Sambil itu, seorang lagi bekas pemain Sabah yang sudah lama berkelana bersama pasukan lain, Bobby Gonzales juga ada mengadakan pertemuan dengan Verdon.

"Saudara Bobby mengatakan kesediaan dan akan menunggu untuk mendapat panggilan daripada pihak Sabah FC," katanya. - Utusan Borneo


bottom of page