top of page

RS Team juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Unifi di Ranau

  • nabalunews
  • Apr 13
  • 2 min read

13 April 2026


RANAU: Pasukan RS muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Unifi dengan kerjasama Parlimen Ranau serta Kelab Clasico Ranau di Padang Kampung Sinarut Baru, di sini, baru-baru ini.


Pasukan yang merupakan gabungan pemain dari Kampung Rapak dan Kampung Sinarut Baru itu menewaskan Matra Ranau menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang sengit.


Kemenangan tersebut menyaksikan RS membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat, manakala Matra Ranau di tempat kedua menerima RM800 dan pingat, dan tempat ketiga pula menjadi milik pasukan JAF FT yang membawa pulang RM500 serta pingat.


Ketua Wilayah Unifi Consumer Sabah, Mohamad Dhikra Jabir berkata penganjuran kejohanan itu bertujuan memperkenalkan produk Unifi kepada komuniti setempat di samping mengeratkan hubungan melalui aktiviti sukan.


Beliau berkata pihaknya merancang untuk meneruskan program seumpama itu secara berkala setiap tiga bulan dengan penyertaan masyarakat yang lebih meluas pada masa hadapan.


"Kami merancang untuk meneruskan program seperti ini secara berkala setiap tiga bulan dengan melibatkan penyertaan masyarakat yang lebih meluas pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada kejohanan berkenaan.


Sementara itu, Pengurus Kelab Clasico Ranau, Romzie Mohammad menyifatkan penganjuran itu sebagai berjaya apabila turut disertai pemain berpengalaman termasuk bekas pemain negeri kategori Bawah 20 (B-20) dan Bawah 23 (B-23) dari daerah Ranau.


Katanya, penglibatan pemain berpengalaman itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


"Kita berharap pihak Unifi akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kelab Clasico bagi memastikan kebersamaan antara agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dapat diperkukuhkan lagi," katanya.


Majlis perasmian dan penutupan kejohanan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin yang berharap penganjuran sukan berkenaan dapat menggalakkan pembangunan sukan bola sepak di daerah itu selain mencungkil bakat muda untuk masa depan negara.


Terdahulu, satu perlawanan persahabatan turut diadakan sebelum majlis penutupan yang menyaksikan pasukan Unifi menewaskan pasukan Parlimen Ranau 3-0.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page