Rumah terbuka Krismas dibenarkan bagi individu lengkap vaksinRumah terbuka Krismas dibenarkan bagi individu lengkap vaksin
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rumah terbuka Krismas dibenarkan bagi individu lengkap vaksin


19 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan membenarkan aktiviti kunjung mengunjung antara keluarga sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu kepada penerima vaksin lengkap sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


Pengunjung yang tidak lengkap divaksin, demam atau sakit tidak dibenarkan mengunjungi rumah terbuka Krismas.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata tempoh masa yang dibenarkan bagi satu kunjungan tidak melebihi tiga jam dan kerja sanitasi perlu dilakukan dalam tempoh 30 minit selepas setiap kunjungan.


Manakala bilangan pengunjung yang ditetapkan ialah tidak melebihi 50 peratus kapasiti rumah.


"Ketua rumah juga perlu menyediakan buku log kehadiran pengunjung atau penggunaan aplikasi MySejahtera serta alat memeriksa suhu badan dan hand sanitizer kepada para pengunjung di pintu masuk rumah.


"Selain itu, ketua rumah juga perlu memastikan pengunjung membuat saringan kendiri, sentiasa memakai pelitup muka kecuali semasa makan minum, melakukan penjarakan fizikal satu meter, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun hanya dibenarkan hadir bersama ibu bapa lengkap divaksin.


"Aktiviti bersalaman dan bersentuhan adalah tidak dibenarkan ketika kunjungan dan ketua rumah termasuk tetamu bertanggungjawab mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang menyambut perayaan tersebut," katanya dalam kenyataan kelmarin.


Menurut Masidi, rumah ibadat bukan Islam juga dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 11.30 malam dalam SOP terbaharu sempena sambutan Krismas namun hanya pengunjung lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir.


Jelasnya lagi tempoh masa sembahyang juga tidak melebihi dua jam dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 30 minit sebelum sesi sembahyang seterusnya, manakala kehadiran terhad 50 peratus kapasiti mengambil kira penjarakan fizikal 1 meter.


"Ahli Jawatankuasa Pengurusan (rumah ibadat) dan penganut yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir, selain wajib membawa peralatan sembahyang sendiri dan upacara atau perarakan keagamaan atau aktiviti melibatkan sentuhan tidak dibenarkan.


"Ahli Jawatankuasa Pengurusan juga perlu memastikan penggunaan MySejahtera atau buku log kehadiran, dan memastikan semua memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan mematuhi SOP lain ditetapkan.


"Persembahan koir turut dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal tidak kurang dari satu meter dan diwajibkan memakai pelitup muka," katanya.


Bagaimanapun, upacara nyanyian koir (carolling) dari rumah ke rumah dan perarakan keagamaan adalah tidak dibenarkan.

bottom of page